HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mac 2009

Badan Khas lantik ahli Suhakam

KLPOS.COM


PERDANA Menteri perlu merujuk kepada jawatankuasa khas sebelum menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memastikan proses pemilihan lebih telus dan merangkumi pesuruhjaya lelaki serta wanita mewakili pelbagai lapisan masyarakat.

Peruntukan baru menerusi Seksyen 11A Rang Undang-Undang Suhakam (Pindaan) 2009 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Dewan Rakyat, semalam itu turut melanjutkan tempoh jawatan kepada tiga tahun berbanding dua tahun sekarang.

“Jawatankuasa khas ini akan dianggotai Ketua Setiausaha Negara selaku pengerusinya, Pengerusi Suhakam dan tiga lagi anggota dari kalangan tokoh terkemuka (EPG) termasuk bekas hakim atau bekas Pesuruhjaya Suhakam, yang akan dipilih Perdana Menteri.

“Pindaan baru ini turut menggariskan pesuruhjaya harus berpengetahuan luas, termasuk dalam bidang agama dan politik selain mewakili kaum berbeza serta berpengalaman dalam isu hak asasi manusia.

“Perdana Menteri turut diberi kuasa merumus kaedah terbaik bagi menilai prestasi pesuruhjaya yang dilantik sebagai asas menentukan sama ada seseorang pesuruhjaya itu layak dilantik semula mengikut Seksyen 5(4) atau dilucutkan jawatan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 10,” katanya.

Pesuruhjaya boleh dipertimbangkan untuk pelantikan semula jika sebelum rang undang-undang ini berkuat kuasa belum pernah dilantik semula.

Pesuruhjaya Suhakam yang tamat tempoh perkhidmatan selama tiga tahun hanya boleh dilantik semula sekali bagi tempoh tiga tahun lagi.

Mohamed Nazri berkata, sesiapa yang terbabit secara aktif dalam politik, berdaftar dengan parti politik, pernah dilantik atau berkhidmat sebagai pegawai penguat kuasa tidak boleh menganggotai jawatankuasa khas yang menasihati Perdana Menteri mengenai pelantikan Pesuruhjaya Suhakam.

Pegawai penguat kuasa termasuk pegawai kementerian, jabatan, agensi atau badan kerajaan yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan membabitkan unit, seksyen atau bahagian yang berhak dari segi perundangan untuk melakukan tugas penguatkuasaan.

Tiada ulasan: