HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mac 2009

Polis tumpas geng culik pelajar sekolah

BERNAMA


PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan satu kes culik yang melibatkan seorang pelajar sekolah berumur 14 tahun selepas menahan 10 orang termasuk enam remaja dalam beberapa serbuan di sini sejak hari Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kejayaan itu adalah hasil kecekapan dan tindakan pantas polis melakukan siasatan sebaik sahaja menerima laporan daripada keluarga remaja lelaki itu.

"Remaja lelaki itu diculik semasa sedang menunggu bas di Taman Gemilang Jaya, Bukit Mertajam dekat sini untuk ke sekolah, pada kira-kira pukul 6.20 pagi Rabu lepas.

"Sebaik mendapat maklumat berhubung perkara itu, polis menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC II Wan Abdullah Tunku Said untuk mengesan pelajar dan kumpulan culik berkenaan," katanya pada persidangan akhbar yang turut dihadiri Wan Abdullah di sini hari ini.

Tun Hisan berkata hasil maklumat awal berhubung kejadian itu, polis berjaya menahan seorang remaja pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

"Selepas disoal siasat, polis menahan beberapa lagi anggota kumpulan itu disekitar Pulau Pinang dan pada masa yang sama keluarga remaja yang diculik menyerahkan sejumlah wang tebusan kepada kumpulan itu," katanya.

Tun Hisan berkata selepas wang tebusan itu diterima, kumpulan berkenaan membebaskan remaja itu di hadapan sebuah restoran di Sungai Rambai, Bukit Mertajam pada kirakira pukul 3.20 pagi 28 Mac lepas.

Katanya remaja yang mengalami kecederaan di mata itu dihantar ke hospital untuk rawatan dan keadaannya stabil.

"Hasil maklumat lanjut, polis berjaya menahan saki baki anggota kumpulan itu dan merampas kira-kira 90 peratus wang tebusan serta pelbagai barang lain yang digunakan penculik antaranya telefon bimbit, dua kereta dan dua motosikal," katanya tanpa mahu mengulas jumlah wang tebusan.

Beliau berkata polis menahan tujuh lelaki dan tiga wanita secara berperingkat yang disyaki terbabit dalam kejadian itu, dengan enam daripada mereka adalah remaja berumur antara 16 dan 21 tahun, manakala selebihnya berusia antara 22 dan 47 tahun.

Tun Hisan berkata kumpulan culik itu turut dianggotai seorang ibu berumur 47 tahun bersama anak lelakinya berusia 22 tahun, dan keduaduanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan rompakan pada tahun 2006.

Katanya siasatan lanjut mendapati beberapa anggota kumpulan yang ditahan itu tinggal berhampiran dengan rumah remaja yang diculik dan sememangnya mengenali keluarga remaja itu.

"Semua yang ditahan kini direman sehingga 3 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Peculikan 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung," katanya.

Tiada ulasan: