HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2009

Pak Lah Menatang Arus (2003-2009) bakal dilancar

Oleh AU YEONG HOW


SEBUAH buku sarat dengan visual `perjalanan politik' Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang dikemaskinikan dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Pengurus Pemasaran Foto, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Azizul Ahmad, 39, berkata, kemungkinan besar selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 yang sedang berlangsung dari 24-28 Mac ini.

Ini kerana, katanya, pihaknya ingin memastikan buku visual tersebut adalah lengkap sepenuhnya dengan foto-foto Abdullah oleh BERNAMA sepanjang karier politiknya sebagai Perdana Menteri.

"Foto-foto tersebut mula diambil sejak beliau mengangkat sumpah memegang jawatan Perdana Menteri pada 2003. Ia diambil semasa beliau menjalankan tugas rasmi di dalam dan luar negara.

"Buku itu sudah hampir 95 peratus siap. Ia akan dirasmikan tidak lama lagi," katanya kepada mStar Online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Azizul berkata, buku itu juga sebagai simbolik penghargaan pihaknya terhadap keterampilan Abdullah memimpin negara ini ke mercu kejayaan.

Ditanya mengenai pemilihan tajuk buku itu, Azizul berkata, Pak Lah berjaya menatang arus dengan baik sekali walaupun terdapat pelbagai halangan.

Tiada ulasan: