HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Mac 2009

Harakah, tiga bulan menanggung rindu

Azamin Amin


Lama tidak menulis. Tiba-tiba hati tercetus api. Harakah tempat mencari rezeki, tiga bulan 'dikasi'!

Sambil merenung dalam-dalam ke putih mata anak, saya tertanya-tanya apa dosa, apa musibah yang menimpa? Tidak cukupkah lagi dengan pelbagai asakan hingga kali ini terusik periuk nasi. Pujian jauh sekali, hanya halua telinga mendengar maki.

Kotak email saya kali ini penuh dengan caci. Tanggapan salah terhadap Harakah terus dimomokkan sebagai pembohong, pendusta dan penfitnah. Tanpa kecuali memanggil saya dengan nama syaitan.

Ketika menulis, telinga saya menerpa ungkapan Najib Tun Razak yang disiarkan di kaca tv secara langsung di Perhimpunan Agung Umno, iaitu betapa berbulunya beliau dengan budaya fitnah...begitulah lebih kurang bunyinya. Ditambah dengan ramuan susunan kata dan 'idghamnya' Najib menyatakan seolah-olah betapa lebih berbulu apabila budaya ini menular kepada orang yang mengaku memperjuangkan Islam.

Biarlah Najib, Umno dan konco-konconya. Entahlah, sehingga kini tiada sebarang alasan penggantungan menjadi tanda tanya apa silapnya.

Selama lebih tiga tahun, sejak tahun 2005 diasuh dan diasah menggalang tugas wartawan, tidak pernahlah fasilitator, mentor, sifu atau tenaga pengajar mendidik saya membuat fitnah, mereka-reka cerita supaya sedap didengar, dan tekun dibaca.

Hebat mana sekalipun berita dan pendedahan yang ditulis, akhirnya bos, editor dan para 'penapis' di pejabat akan bertanya, adakah ianya benar dan dari mana sumbernya? Begitu juga agama, sebarang dalil mestilah diketahui mana nas dan datangnya.Sahih atau lemah.

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu" (ayat 6 Surah Al-Hujurat)

Kuliah agama setiap hari Khamis di pejabat Harakah, juga seringkali berpesan agar kami mencari rezeki yang halal, tidak mencuri tulang, tidak makan gaji buta, melaporkan yang benar dan tidak menjadi orang-orang fasik membawa cerita bohong sehingga dipercayai umum.

Pengerusi, Pengarah Harakah dan Ahli-Ahli Jemaah Harakah serta pimpinan PAS setiap kali pertemuan selalu mengingatkan kepada warga kerjanya, laporkan berita yang benar sahaja.

Oh, ya. Bos-bos di Harakah juga bukan kayu. Ramai antaranya terdidik dengan asas agama dan melintasi kem-kem tarbiyah. Ada yang sempat singgah di pondok-pondok agama. Ada yang menjadi 'pejuang' di menara gading dan ada yang pulang dari luar negara, mencurah bakti. Ada yang bersama sudah berbelas tahun malah sejak Harakah ditubuhkan, 21 tahun lalu.

Takkan semudah itu mereka ini akan membiarkan berita tanpa fakta bercempera terpapar di dada Harakah yang akhirnya mengundang masalah, fitnah dan dipersoal maruah.

Setiap berita yang ditulis terutama yang mengaitkan pendedahan dan penyelewengan akan diperhalusi dan didalami sehingga masak. Khuatir ada yang teraniaya, atau terjejas imejnya. Semua disiasat secara terperinci. Jika tersilap padahnya, tindakan undang-undang atau saman.

Sebenarnya tidak mudah menjadi wartawan atau tenaga kerja aliran alternatif dan pembangkang seperti Harakah. Ramai yang memandang enteng. Ada yang ipar duai tak bertegur sapa, mentua suruh bertukar kerja. Rakan-rakan segan berkata-kata lantaran khuatir dijadikan berita. Sinis dan penuh sadis.

Kadang-kadang tertanya-tanya juga, adakah sesekali sakit di dada dan kabur pandangan mata kibat mengelak tujahan cota, hentakan dan semburan asap memedih mata.

Benci tapi rindu Harakah

Ke mana pergi, bukan hamparan merah tetapi perasaan amarah menyambut Harakah. Pun begitu menghargai dengan nilai manusiawi pun sudah mencukupi bagi kami.Tetapi ramai yang setia bersama Harakah. Bak kata Almarhum Ustaz Fadzil Noor, benci tapi rindu...itulah keistimewaan Harakah.

Saya pernah dinasihati. Kata mereka, tidak perlulah buat pendedahan eksklusif, memadai cerita biasa yang boleh dipetik daripada arus perdana. Anda selamat, mereka pun selamat. Itulah antara cabaran, dugaan dan 'suntikan' yang saya terima.

Kadang-kadang, ada mata yang sentiasa 'mencari' siapa itu Azamin Amin, siapa itu Wan Nordin, siapa itu Lutfi lantaran beberapa berita yang pernah disiarkan mengundang rasa tidak senang.

Dari kisah 'Tender plat Menteri Wilayah RM60,000', 'Pameran Hantu yang menipu', 'Skim pelaburan internet yang mengaburi', 'Skandal moral pemimpin BN' sehinggalah kepada pendedahan kes Angkasawan Negara yang mengenakan bayaran tinggi ceramah, semuanya tidak saya reka tidak tentu hala.

Niat saya juga Harakah, mendedahkan kepincangan agar menjadi tauladan dan sempadan. Tiada sebarang agenda lain. Dato' Zulhasnan masih lagi Menteri Wilayah. Orang masih lagi berminat dengan cerita hantu. Pelaburan internet masih bercambah dan ramai masih tidak serik. Begitu juga dengan Sheikh Muzaphar, masih lagi dianggap wira negara dan diundang merata.

Apapun yang didedah ingin dijadikan tauladan dan lebih mulia, masing-masing mengambil iktibar dan insaf. Tiada sebarang niat lain. Jadi mengapa harus Harakah dihukum sebegitu rupa atau memang benar Harakah digeruni.

Oh ya...tengah menulis terdengar pula di radio alunan muzik dan lagu 'Sabar' di radio nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.


Beginikah derita hai orang yang sabar
Dituduh berdusta walaupun bercakap benar
Nama ku dicemar mana ku pergi orang tak gemar
Iman ku takkan bertukar dari menipu biar terlantar


Di mana keadilan yang aku harap-harapkan
Mengapa kezaliman menjadi balasan
Yang lemah ditekan yang berharta jadi sanjungan
Padamu oh tuhan aku serahkan tetapkan iman

Entahlah, kadang-kadang hampir hilang sabar. Rasa nak berpencak, nak bersilat. Keluarkan bunga-bunga atau jurus yang ada. Bengkak rasanya. Izinkan saya berlawan pantun dulu...


Jangan tebang sang jerami,
Takut kena junjung tiris;
Jangan selalu kacau kami,
Takut kena hujung keris.

Kepada BN, kalau benar-benar anak jantan, biar kita berdepan. Bukan pukul curi, tikam belakang. Anda ada hujah, kami juga begitu. Bukan ikat mulut, anda sembur kami ikut sedap rasa. Jangan jadi pengecut. Takkanlah itu tahap kejantanan anda.

Kepada KDN, tidak mudah menjadi wartawan pembangkang namun lebih sukar lagi bila tempat mencari rezeki, seolah-olah tidak berfungsi.

Jika kami tersalah, kita boleh bertemu di mahkamah atau muzakarah. Bukan 'senjata' kami terus dipatah.

Walaupun kini di Harakahdaily.net, saya cukup faham dengan semangat hempas-pulas rakan-rakan bergelumang. Semata-mata dengan niat menyiapkan bahan untuk akhbar Harakah. Berkampung dan berlunjur kaki di pejabat setiap malam 'deadline' sudah jadi tradisi. Terpisah anak isteri, yang bujang menjamah mee sambil melakukan tugas hakiki. Sesekali tertidur atas kerusi.

Malam bersengkang mata hingga ke subuh hari. Namun pada keesokan tatkala Harakah di pasaran, masing-masing berkerut dahi dan mengeluarkan pandangan serta komen tersendiri.

Entahlah, kadang-kadang dengan asakan dan tekanan yang bertubi-tubi, bertimpa-timpa dan menggunung tinggi ingin saja berundur diri.Tetapi bila dikenang, inilah jalan yang dipilih untuk perjuangan. Alang-alang mandi biar basah. Alang-alang terhunus biar berdarah. Alang-lang menyeluk pekasam biar sampai masam. Tidak boleh lagi berdiam dan merendah diri sehingga dipermainkan begini.


Angkut angkut membuat sarang
Jatuh menganjal di atas peti
Apa ditakut harimau garang
Sebelum ajal, berpantang mati.

Bertemu kita di lain gelanggang lagi...walasam.

Tiada ulasan: