Syuaib Zakaria
Masih saya ingat bualan seorang pengamal media. Katanya, kalau di Indonesia, Gatra dan lain-lain majalah berita ditarik permitnya, akan ada demo untuk tujuan itu.
Maklum.. Indonesia itu sebuah wilayah yang besar. Gatra mungkin ada juga cabang-cabangnya di Sidoarjo, Klaten, Madiun, Surabaya, Banyuwangi dan lain-lain kabupaten serta lain-lain propinsi.
Hal itu juga yang disuarakan Ahmad Lutfi satu masa dahulu tentang hal yang sama, iaitu tiada tergerak di hati rakyat untuk berdemo untuk selamatkan akhbar-akhbar, melainkan sedikit. Pada nada suaranya jelaslah terbayang ada kekecewaan yang saya kira baru menetas dari lubuk hatinya.
Beliau membayangkan agar Harakah menjadi lapangan setiap ahli masyarakat yang akhirnya menggerakkan rakyat menuntut segala macam perubahan.
Berbeza dengan situasi di Malaysia. Majalah berita Massa dahulu tumpas oleh kerana tiada pasaran dan akhirnya tewas dengan sebab tiadanya dokongan intelektual siswa-siswi termasuk pensyarah universiti.
Walhal, kita punya rangkaian 'intelektual' berbelas-belas buah universiti dengan pertambahan jumlah siswa-siswi dan pensyarahnya saban tahun.
Tapi, itu cerita lama. Kisah riwayat di penghujung usia majalah berita Massa terbitan Kumpulan Utusan. Ia mati pun bukanlah disebabkan permitnya ditarik. Massa bukannya mati beragan sebagai Harakah dan Suara Keadilan. Massa mati ditikam bunuh oleh kehendak pasarannya sendiri.
Harakah dan Suara Keadilan tak terbunuh lewat kaedah itu. Permit mereka digantung. Bersemadi di dalam kubur selama 100 hari tanpa sebarang talkin demo orang-ramai di Istana Negara seperti mana halnya demo GMP mansuhkan PPSMI dan demo anjuran Bersih!
Dan, inilah pertanyaan yang kita ingin layangkan. Seandainya Harakah tumpas, Suara Keadilan tewas tatkala berdepan dengan segala rupa paras akta yang meraksasa pada era kejam Najib yang bakal tumbuh sebagai gergasi politik, adakah selaksa tsunami akan sekali lagi merakyat di depan pagar Istana Negara?
Menuntut dengan tegar agar maruah Harakah itu didaulatkan sekali gus mendesak supaya harga diri Suara keadilan itu dikembalikan?
Jualan turun naik Harakah dan SK tidak menentu. Seperti pasaran saham, matawang asing Forex yang ada naik turun serta pasang surutnya, hal itu juga yang sedang dialami oleh kedua-dua akhbar berhaluan kiri.
Ia ada turun naik berdasarkan perkembangan politik semasa. Berbeza dengan pasaran saham, jualan kedua-dua akhbar ini tidak merudum dan menjunam!
Bererti, sentiasa ada orang yang ingin membeli dan kadangkala tidak membeli pada minggu berikutnya. Itu sudah pasti berlaku di mana-mana pun. Tetapi, apa yang dituntut oleh warga kerja dan wartawan akhbar ini adalah sokongan rakyat yang bukan sahaja terhad kepada tindakan membeli dan melanggan akhbar.
Malah.. kalau ada usaha menarik, menggantung permit dan merampas akhbar berhaluan kiri ini, maka semoga pembaca itu akan tidak jemu-jemu lagi turun padang, berdemo, beraksi demi mempertahan kebebasan akhbar di negara ini.
"Kalau boleh..biarlah ada orang turun berdemo untuk akhbar juga seperti Bersih," kata Ahmad Lutfi. Katanya, ada juga usahanya kecil-kecilan berbisik kepada anggota Parlimen agar mengangkat tema kebebasan akhbar di Parlimen.
Pendek kata, sebagai mana rakyat turun untuk demo Bersih, maka seperti itulah hasrat menggunung semoga rakyat akan terus membela maruah dan nasib akhbar-akhbar berhaluan kiri ini.
Masalahnya, berapa ramaikah yang terfikir akan sudi turun beraksi di Dataran Merdeka, Istana Negara semata-mata untuk membela nasib akhbar? Atau, mungkinkah ada orang yang rela dan bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan asalkan ada orang yang akan memimpin demo tersebut?
Persetankan majalah berita Indonesia. Ada dua faktor yang menyebabkan saya menyumpah dan 'menghantu' kebanjiran sidang rakyat yang turun di jalanan demi membela majalah berita itu. Pertama.. seperti yang disebut tadi, memang rakyat Indon itu ramai. Jadi, secara tidak langsung akan ramailah yang akan turun berdemo.
Hanya beberapa peratus daripada rakyat Indon turun, jumlahnya mungkin menyamai 26 juta rakyat Malaysia hari ini. Jadi, cakap-cakap yang menyatakan bahawa demo di Tanah Jawa itu lebih panas kerana jumlahnya ramai, maka hal itu tertolak kerana penduduknya memang ramai pun.
Kedua, penduduk Indonesia rata-ratanya miskin. Jurang kekayaan dan kemiskinan melebar dengan begitu dahsyat. Maka, aksi jalanan akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada para demonstran ini. Mereka diupah. Saya menyedari semua ini sekitar 2005 ketika sempat berkunjungan ke Surabaya.
Maka, demo-demo ini menjadi semakin kurang kualitinya oleh sebab ada unsur upah. Jika tiada upah, barangkali tidak ramai juga yang hadir. Unsur kebendaan, perlahan-lahan menjalar dalam aksi jalanan.
Kita percaya bahawa hal itu belum lagi terjadi di Malaysia. Belum ada lagi cakap-cakap yang menyatakan bahawa ada demonstran dibayar dan diupah untuk berdemo.
Maka, perhimpunan Bersih, aksi membantah PPSMI di ibu kota bukan ada pun sebarang peruntukan khas untuk mengupah demonstran itu turun. Semuanya duit sendiri.
Aksi demonstrasi di Indonesia kini nampaknya lebih mudah mendapat permit dan berada dalam keadaan terkawal kerana dikawal polis. Polis Indonesia akan benar-benar memelihara orang-ramai yang turun beraksi.
Itulah yang saya dengar dan saya lihat sejak tumbangnya Suharto. Rakan-rakan mahasiswa dari tanah seberang memberitahu sedemikian.
Tak seperti di Malaysia, permit demo boleh diberi dan boleh ditarik semula pada saat-saat akhir. Water Canon sudah jadi mainan demonstran. Malahan.. sudah ada yang menjadi ketagih akibat terkena semburan itu.
Nampaknya, musim ini kita akan rancak berpesta dengan demo sejak peralihan iklim monsun kekuasaan daripada Abdullah kepada Najib!
Itu pun kalau benar-benar mendapat persetujuan rakyat dan pemimpin parti benar-benar berasa sakit apabila musuhnya mengerat lidahnya sendiri. Harakah dan Suara Keadilan adalah lidah rasmi parti, merangkap lidah rasmi rakyat kalau kita ingin menafsirkan sedemikian.
Jangan jadi 'syaitan bisu'
Jadi, apakah kita tidak rasa apa-apa dan hanya menonton dengan percuma saat musuh datang kepada kita untuk mengelar lidah kita sendiri?
Apakah kita tidak bangkit melawan? Sudah menjadi baculkah kita hari ini kerana sanggup berputih mata melihat musuh mengerat lidah kita di depan mata kita sendiri? Atau menunggu arahan orang-orang dalam parti?
Dalam 100 hari (3 bulan) PAS, Keadilan akan menjadi pejuang bisu. Ada sepotong hadis nabi menyebut bahawa alim yang hanya berdiam diri melihat kemungkaran berlaku di depan mata mereka adalah 'syaitan bisu'.
Alangkah mulianya mereka yang tergagap-gagap saat menyampaikan kebenaran berbanding mereka yang sebenarnya lancar berbicara tetapi mengambil keputusan berdiam diri ketika menonton kemungkaran yang sedang berlaku di depannya.
Media sangat penting dalam perjuangan. 'Seekor' Neo-Fir'aun (Firaun baru) seperti Najib sedang galak mengganas. Dan Tuhan memang sejak dahulu ada perancangannya yang tersendiri. Memang sengaja Tuhan itu mengirim Musa a.s yang gagap percakapannya kepada Bani Israel.
Dan, Tuhan sampai 'sanggup' mengangkat darjat saudara Musa, Harun ke darjat kenabian dan kerasulan hanya kerana doa munajat Musa yang menceritakan kelemahan dirinya yang gagap berbicara kepada kaumnya.
"Angkatlah saudaraku Harun sebagai wazirku Ya Tuhan," doa Musa. "Sebab dia lebih fasih ucapannya."
Tanpa bantahan, Harun segera diangkat sebagai nabi dan rasul hanya untuk menyusun ceramah dan membantu pidato Musa. Harun bukanlah diberikan kitab, suhuf, risalah seperti mana halnya nabi-nabi lain.
Dia cuma seorang pembantu ucapan Musa dan hanya sebab urusan 'sekecil' itu (hal mengukuhkan media dakwah Musa), Harun a.s sampai terangkat darjatnya sebagai nabi dan rasul. Demikianlah Allah menggambarkan betapa mulia dan hebatnya kuasa media itu.
Pada zaman Sulaiman a.s, burung Hud-Hud terangkat darjatnya sebagai 'wartawan'. Nama seekor burung terangkat dalam al-Quran kerana peranannya mengatasi haiwan-haiwan lain di dalam pentadbiran Raja Sulaiman.
Demikian tingginya zat Tuhan mengangkat peranan media dan pengamal media pada zaman-zaman berkembangnya risalah Tauhid dahulu.
Sezalim-zalim Fir'aun, kita belum pernah mendengar bahawa Nabi Harun, 'alat komunikasi' Musa ditahan Fir'aun. Tidak pasti kalau-kalau Bible ada menceritakan sedemikian.
Tapi, dalam al-Quran, hal tersebut tidak diriwayatkan. Maka si Neo-Fir'aun yang bernama Najib ini harus diwaspadai selalu.
Segala seruannya; minta kita bersatu untuk kononnya membantunya dalam mendepani krisis ekonomi dan untuk melicinkan pentadbiran sepatutnya ditimbang, dinilai sukat dengan penuh teliti dan berhati-hati.
Untuk apa berpadu di bawah bumbung kerajaan perpaduan jika lidah sendiri dikelar lalu diberi kepada 'anjing-anjing' untuk diratah? Selepas ini, pasukan polis akan menyerbu ke gedung Suara Keadilan dan segudang Harakah akan dirampas untuk mereka ratah bersama-sama. Dan.. seperti biasa.. orang-orang kita akan tinggal berputih mata sahaja.
Kelmarin, suatu kiriman sms seorang warga Harakah telah pun menyinggah ke telefon bimbit, "Minggu ini akhbar tak keluar."
Nah! Sudah bisu lidah parti minggu ini. Mungkin keputusan itu boleh berubah dan penyokong akan berbuat sesuatu bagi mengisi ruang kekosongan ini. Tetapi, hal itu tidak merawat kesakitan lidah rasmi yang dikelar oleh pisau musuh!
Apakah mahu jadi lagi agak-agaknya kepada negara kita? Tidak lama dahulu tersiar berita bahawa kepala khinzir telah dijumpai di atas bendera PAS di dalam surau Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya. Seperti biasa, akhbar tidak menyiarkannya. Malah, akhbar kita sendiri kurang membuat liputan mengenainya.
Malah, tiada kita dengar bantahan yang luarbiasa oleh pimpinan parti ke atas isu tersebut. Seruan ke atas kerajaan perpaduan dan lain-lain isu yang lebih kuat bergema berbanding bantahan ke atas tindakan meletakkan kepala khinzir ke atas bendera parti.
Walhal bendera adalah lambang dan maruah kita. Marah benar polis-polis apabila lambang mereka ditukar kepada anjing walaupun anjing Qitmir diangkat darjatnya sebagai pelindung Ashabul Kahfi. Juga.. anjinglah antara penyebab seorang pelacur dapat memasuki syurga. Demikian diriwayatkan dalam sebuah hadis.
Kita belum lagi melukis logo polis dengan kepala khinzir. Itu pun sudah marah-marah. Ketika bendera PAS diletakkan kepala khinzir di atasnya dalam surau API UM, mana ada orang-orang PAS marah-marah dan mengambil tindakan, siasatan ke atas isu itu? Kita berputih mata dan buat diam saja. Siapa kata kita berontak? Tak ada kan?
Syahadan.. hal yang sama akan berlaku ke atas Harakah dan Suara Keadilan. Tidak akan berlaku sebarang demonstrasi pun untuk marah-marah kepada Neo-Fir'aun; Najib dan juak-juaknya, walhal lewat Harakah dan Suara Keadilan itulah kita mendapat imbuhan maklumat mengenai bilakah tarikhnya untuk berdemo untuk memansuhkan PPSMI dan demo Bersih!
Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan Harakah dan Suara Keadilan demo-demokan, sayangkan PAS dan Keadilan sindir-sindir dan marah-marahkan.. :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan