Mohd Rashidi Hassan
Rakyat dikejutkan dengan tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung permit penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuatkuasa 23 Mac baru-baru ini.
Tiada alasan kukuh untuk menyokong penggantungan yang dibuat KDN, melainkan ianya terdorong daripada sentimen kegusaran pemerintah Umno-BN terhadap keberkesanan Harakah.
Penggantungan permit ini amat tidak adil dan harus ditarik balik serta merta.
Sejak 1987 Harakah diterbitkan, sehingga kini sudah mencapai 22 tahun, tidak sekalipun permit Harakah digantung walaupun tohmahan, fitnah, kecaman dan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Harakah.
Dalam tempoh 22 tahun, Harakah sedia ditegur, termasuk oleh KDN, dan kita melakukan perubahan jika diminta berbuat demikian.
Bagaimanapun, sebagai sebuah organ parti Harakah juga mempunyai visi dan misi yang tersendiri.
Malangnya, banyak tuduhan kepada Harakah merupakan dakwaan liar yang tidak berasas. Ia juga jarang dibuktikan.
Justeru, kebanyakannya bersifat tekanan politik Umno-BN.
Tindakan menggantung permit Harakah adalah yang julungkalinya dibuat, menunjukkan KDN tidak bertindak adil dan mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.KDN dipergunakan untuk kepentingan politik mereka.
Meskipun Harakah kerap dilabel sebagai 'akhbar nyamuk' yang didakwa tidak berpengaruh, dengan jumlah jualannya tidak sebesar mana, edarannya tidak meluas seperti akhbar arus perdana, tetapi yang peliknya ia begitu ditakuti dan digeruni Umno-BN.
Apalah kedudukan Harakah, jika hendak dibandingkan dengan jumlah puluhan media cetak dan elektronik yang jelas memihak kepada Umno-BN?
Tidak cukupkah lagi dengan sokongan membabi-buta media pengampu itu sehingga mereka cukup alergik untuk menerima kahadiran akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan?
Mengapa Umno-BN takut dengan suara kebenaran sedangkan Malaysia dicanangkan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, menerima perbezaan pandangan dan menghormati kepelbagaian?
Hakikatnya ketakutan Umno-BN kepada Harakah membuktikan bahawa Harakah merupakan akhbar alternatif yang berjaya.
Hasil sumbangan kecil Harakah, rakyat sudah semakin terbuka minda dan tidak lagi mempercayai media pengampu Umno-BN yang bersepah di pasaran.
Umno-BN menjangkakan usaha mereka melalui KDN menggantung permit Harakah, mampu untuk menyekat rakyat mendapatkan sumber berita yang benar, sahih dan berwibawa.
Sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat ini, terutama menghadapi beberapa pilihan raya kecil yang cukup kritikal buat BN, rakyat dijangka akan kembali tertutup minda.
Ternyata sangkaan Umno-BN meleset. Rakyat Malaysia matang berfikir dan membezakan mana yang benar dan mana yang salah.
Justeru penggantungan penerbitan Harakah tidak akan mampu menghalang rakyat yang cintakan demokrasi serta dahagakan keadilan untuk terus mencari kebenaran.
Penggantungan ini juga sama sekali tidak akan mematahkan semangat warga kerja Harakah untuk terus bertungkus lumus memberikan sajian terbaik buat tatapan rakyat.
Walaupun tangan kami diikat, walaupun lidah kami dikunci, kami tetap akan berjuang untuk kebebasan bersuara, kami akan terus berjuang untuk membongkar kepincangan dan malapetaka yang dibawa Umno-BN terhadap rakyat dan negara.
Kami akan teruskan usaha mulia ini dengan beberapa penerbitan yang lain, termasuk dalam laporan harian melalui Harakahdaily.net.
Apa pun, KDN diharap dapat mengembalikan kewarasan bertindak dengan membatalkan arahan penggantungan itu, bagi memastikan imej negara tidak terus tercemar dengan sikap yang tidak demokratik itu.
Dalam suasana media baru, seperti internet, menguasai keadaan, tentulah memalukan jika kerajaan BN dilihat bertambah kerdil dan penakut untuk berdepan cabaran semasa sehingga menggunakan pendekatan primitif bagi menutup peluang buat rakyat menerima bahan-bahan berita atau maklumat alternatif. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan