Jimadie Shah Othman
Suasana berkempen di saat-saat akhir untuk pemilihan tiga sayap Umno – Pemuda, Wanita dan Puteri – memanaskan suasana bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) hari ini.
Sejak awal pagi, penyokong calon masing-masing kelihatan beredar sekitar bangunan itu, terutamanya sekitar ruang legar utama, berdekatan dengan skrin besar yang memaparkan suasana seputar perhimpunan itu.
Bagaimanapun kempen merebut jawatan ketua Pemuda antara Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir kelihatan lebih rancak berbanding dua lagi pergerakan.
Penyokong tegar ketiga-tiga calon itu berkumpul di Dewan Tun Hussein Onn - tempat Pemuda Umno berhimpun sebelum mengundi 11 pagi ini - sambil menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" dan "Allah Selamatkan Kamu" beramai-ramai.
Mereka juga sahut-menyahut melaungkan nama calon masing-masing – KJ (Khairy), Khir Toyo dan Mukriz.
Bagaimanapun poster Dr Mohamad Khir bertulisan "Pemuda Berani" kelihatan mendominasi kawasan tersebut.
Penyokong tiga calon itu memakai kemeja T dengan nombor calon, gambar dan nama pemimpin pilihan masing-masing.
Sementara itu, penyokong calon-calon Wanita dan Puteri kelihatan lebih selesa dengan "kempen senyap".
Mereka mengedarkan kad bertulis nama dan nombor calon mereka kepada orang ramai, termasuk kepada perwakilan dan media.
Ketiga-tiga ketua pergerakan itu telah selesai menyampaikan ucapan masing-masing pagi ini dan kini sedang menjalankan
pengundian untuk jawatan-jawatan yang dipertandingkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan