BERNAMA
KANGAR: Masjid-masjid di Perlis perlu mempunyai gelanggang sukan selain meningkatkan keindahan senitamannya sebagai langkah mempelbagaikan peranannya, kata Mufti Dr Juanda Jaya hari ini.
Menurutnya, selama ini masjid sering dipakejkan dengan tanah kubur sedangkan ia sewajarnya menjadi pusat masyarakat yang penuh dengan kegiatannya di samping peranan utama sebagai tempat beribadah.
"Apa salahnya, masjid mempunyai segala kemudahan riadah dan apabila tiba waktu solat, semua meninggalkan kegiatan riadah untuk solat berjemaah," katanya semasa menyampaikan taklimat mengenai rumusan forum bulan dakwah peringkat negeri Perlis di Galeri Diraja Istana Arau di sini.
Forum itu telah diadakan pada 21 Mac lalu. Beliau berkata, para pegawai masjid juga digalakkan menyertai askar Wataniah sebagai langkah menggalakkan anak kariah mereka menyertai pasukan sukarelawan yang menjadi benteng pertahanan kedua.
Selain itu, anak-anak kariah juga boleh membantu menangani gejala jenayah dengan sering memberi maklumat mengenai kegiatan itu kepada pihak berkuasa melalui masjid.
Katanya, kegiatan jenayah boleh ditangani jika setiap masjid turut mengambil peranan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
"Inilah pentingnya peranan masjid. Ia bukan sekadar pusat untuk beribadah tetapi pusat masyarakat yang perlu sentiasa dimakmurkan," katanya.
Sementara itu, Dr Juanda adalah antara 10 tokoh agama yang dilantik hari ini sebagai ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) di Istana Arau.
Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPS menyerahkan watikah pelantikan itu sebelum persidangan MAIPs di dewan Galeri Diraja Istana Arau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan