HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Mac 2009

Antara Saf Berintegriti Dengan Yang Membawa Mati

A Kadir Jasin


[MUTAKHIR] -- Shahrizat Abdul Jalil memenangi jawatan Ketua Wanita dengan mendapat 507 undi berbanding penyandang, Rafidah Aziz yang memperoleh 280 undi.

Rosnah Abdul Rashid Shirlin menang jawatan Ketua Puteri dengan 245 undi mengalahkan lima calon lain. Naib Ketua dimenangi oleh Shahanim Yusoff yang memperoleh 353 undi.

Khairy Jamaluddin memenangi jawatan Ketua Pemuda dengan 304 undi walaupun dia didapati bersalah mengamalkan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno.

Dia mengalahkan Dr Khir Toyo (254) dan Mukhriz Mahathir (232). Razali Ibrahim menang Naib Ketua dengan 417 undi.

[Posting Asal]

“SAFKANLAH kepada saya sekumpulan pemimpin yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi dedikasi,” – Mohd Najib Abdul Razak ketika merasmikan serentak persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri semalam.

“SALAM Datuk, malam tadi saya masuk Dewan Tun Hussein Onn. Jelas Datuk Seri Najib mahu ubah Umno secara total dan benar-benar tahu apa yang majoriti orang Melayu mahu. Kebimbangan saya adalah kepada perwakilan, bermula hari ini, dan kepimpinan di peringkat bahagian yang bermasalah sebenarnya,” – seorang muda Melayu profesional lulusan Jepun yang juga pemerhati persidangan.

“FIKIR. Negara kita sedang menghadapi saat-saat yang sukar. Krisis yang dihadapi adalah di peringkat global dan setiap negara mengharungi pahit getir dengan cara tersendiri. Namun negara yang akan bangun dengan pantas adalah negara-negara yang dapat menggemblengkan pemikiran-pemikiran terbaik mereka dalam menangani kemelesetan yang dialami dan mencari jalan penyelesaian,” – iklan Universiti Limkokwing di muka 18 Utusan Malaysia hari ini.

Adakah Mohd Najib akan mendapat saf kepemimpinan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi dedikasi seperti yang dirayukannya itu?

Apakah kebimbangan pemuda Batang Kali hasil Dasar Pandang Ke Timur Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan menjadi kenyataan?

Apakah Mohd Najib akan memperoleh barisan kepemimpinan yang mampu menggembleng pemikiran-pemikiran terbaik bagi menangani kemelesetan ekonomi dan mencari jalan penyelesaian seperti yang diharapkan oleh Universiti Limkokwing itu?

Atau kerana politik wang, kedangkalan minda dan kerendahan akhlak saf kepemimpinan Umno selepas esok akan dibarisi oleh bekas pelibat salah laku seks, tertuduh penyeludup wang, pelari anak dara orang, pesalah disiplin parti, pengampu dan segala macam lagi musang berbulu ayam?

Calon Timbalan Presiden, Muhammad Muhd Taib, dilaporkan oleh Utusan Malaysia hari ini sebagai berkata apa juga peristiwa yang berkaitan skandalnya di Australia di masa lalu tidak perlu diungkit lagi. Katanya Umno sudah terima dia.

Manakala Azalina Othman Said yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) merayu perwakilan “menganggapnya tidak bersalah sehingga sabit kesalahan.” Dia bertanding ahli biasa Majlis Tertinggi.

Mohd Najib, pemuda Look East Policy dan Universiti Limkokwing tidak perlu tunggu lama. Gambaran awal akan diperoleh malam ini apabila keputusan pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri diumumkan.

Kalau perwakilan Umno dan sayap-sayapnya terus memilih oleh bekas pelibat salah laku seks, tertuduh penyeludup wang, pelari anak dara orang, pesalah disiplin parti, pengampu dan segala macam lagi musang berbulu ayam maka takdir akan secara sahih dan mutakhir menentukan kemelaratan Umno.

Atau Mohd Najib menggunakan hak dan budi bicaranya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, insya-Allah, untuk membina saf yang menolak penjawat parti yang tidak berintegriti dan tidak berkebolehan.

Dia wajib mengekalkan pemuka yang tidak terpilih tetapi berintegriti dan berkebolehan. Dia juga perlu memikirkan untuk membawa masuk pakar-pakar dari luar lingkaran parti.

Tetapi kalau Mohd Najib mahu menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri yang popular – ibarat peserta Akademi Fantasia – atau mahu dilabelkan “Mr Nice”, dia mungkin menjadi Perdana Menteri Umno yang terakhir seperti yang dimanterakan oleh musuh-musuh Umno.

Umno akan menuruni cerun yang sama seperti yang dialami oleh Parti Kongres di India, Kuomintang di Taiwan dan Liberal Democratic Party di Jepun.

Umno bukan mengenai 2,000 lebih perwakilan atau tiga juta lebih ahli. Umno adalah satu-satunya parti yang berteraskan kebangsaan Melayu. Di Malaysia, Melayu adalah Islam.

Umno tidak akan menang pilihan raya hanya dengan 2,000 perwakilan atau tiga juta ahli. Apatah lagi pada pilihan raya umum tahun lalu, orang Umno sendiri memboikot malah ramai mengundi pembangkang kerana marah kepada kepemimpinannya.

Tetapi sekiranya keputusan pemilihan hari ini dan esok menepati aspirasi ahli dan penyokong Umno dan diikuti pula oleh ketegasan Mohd Najib memimpin, ramai daripada mereka akan kembali semula ke pangkuan Umno.

Atau setidak-tidaknya mereka akan memberi peluang kepada beliau sehingga pilihan raya umum akan datang untuk membuktikan cakap-cakapnya.

Orang Melayu masih memerlukan sebuah parti seperti Umno. Hanya segelintir liberal dan elit Melayu yang percaya bahawa orang Melayu tidak lagi memerlukan bantuan dan bimbingan.

Walaupun orang Melayu tidak semiskin dan sedaif sebelum merdeka, namun secara perbandingan mereka masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Tidak banyak berbeza dengan huraian Allahyarham Datuk Onn Jaafar dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Umno di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang, 27-28 Julai, 1946, berbunyi:

“Kita orang Melayu masih ada juga menaruh sakit hati dan ada juga menaruh fikiran apakah sebabnya kita orang Melayu keciciran daripada bangsa asing. Jika kita perhalusi sedikit (dan) siasat, kita nescaya akan dapat jawapan dengan nyatanya. Lihatlah bangsa asing walau sedikit jumlahnya sekalipun pada satu-satu tempat tetapi mereka itu semua sentiasa bersatu dan berbantu-bantuan dalam segala hal.”

Tiada ulasan: