Jimadie Shah Othman
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), gabungan NGO pelajar yang kritikal kepada kerajaan, mengerahkan ratusan ahlinya ke Bukit Gantang bagi "menyedarkan rakyat Perak" sewaktu pilihanraya kecil ini.
"Kita bercadang, kalau tidak lebih (jumlah pelajarnya), sekurang-kurangnya sama dengan (jumlah) yang kita bawa baru-baru ini," kata presidennya Muhammad Haafizuddin Abirerah.
SMM, tambahnya, akan turun ke kawasan parlimen itu pada hari mengundi 7 April ini.
Calon BN Ismail Safian dicabar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mewakili PAS dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris.
Sabtu lalu, Haafizuddin berkata SMM dan Gabungan Anak Muda Islam Semalaysia (Gamis) menghantar 300 mahasiswa dari pelbagai universiti di Lembah Klang ke Kuala Sepetang, satu daripada tiga DUN bawah Bukit Gantang.
Mereka pergi mengedarkan risalah isu politik itu di kawasan-kawasan perkampungan di DUN itu yang mempunyai hampir 20,000 pengundi, 32 peratus daripadanya Cina.
Menurutnya lagi, SMM mengedar risalah berhubung krisis perlembagaan dan perebutan kuasa antara Mohamad Nizar - yang mendakwa masih lagi menteri besar Perak yang sah - dengan menteri besar BN Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Mendakwa tanpa sokongan dua parti politik itu, Haafizuddin berkata, SMM mendirikan pentas sendiri bagi berceramah dan menyampaikan pandangan di depan kira-kira 200 hadirin, kebanyakannya pelajar.
Walaupun pandangan SMM selari dengan pendirian Pakatan Rakyat berhubung krisis peralihan kuasa di Perak, SMM mendakwa ia sebuah NGO bebas dan tiada kaitan dengan pembangkang.
"Kita cuma bertindak (agen) semak dan imbang. Sesetengah isu sahaja kita sependapat dengan Pakatan, bukan semua isu," kata Haafizuddin, yang juga presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPPUM).
Kempen kesedaran yang dijalankan oleh SMM, setakat ini, tidak menghadapi masalah dengan pentadbiran universiti, polis atau parti politik, tambahnya.
Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang pelajar terlibat dengan kegiatan politik tanpa kebenaran rasmi kampus atau menyertai pertubuhan yang tidak sah.
Ditanya kenapa program itu tidak dijalankan sepanjang tempoh berkempen, Haafizuddin berkata:
"Sebagai mahasiswa, sudah tentu kewangan kita terhad. (Kegiatan) ini semua kita keluar guna wang sendiri. Tidak ada siapa yang taja."
Sementara ahli jawatankuasa Gamis, Shafie Abd Rahman berkata, NGO itu belum memutuskan penglibatan lanjut gabungan itu pada hari pengundian.
Beliau, yang juga timbalan pengarah aktiviti kesedaran di Bukit Gantang, berkata program dari rumah ke rumah itu sebahagian "usaha dakwah" Gamis bagi menyatakan pandangan mereka tentang pelbagai isu semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan