HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mac 2009

Kerajaan tidak akan tolak atau terima bulat-bulat PPSMI

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menolak dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ataupun menerima dasar itu secara bulat-bulat, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata sebarang keputusan yang dibuat nanti akan mengambil kira pelbagai aspek dan kementerian juga telah menetapkan beberapa cadangan dalam kertas kerja dasar itu yang kini dalam peringkat akhir untuk diluluskan oleh jemaah menteri.

"Kita tidak perlu melihatnya sebagai situasi kalah-kalah, tolak bulat-bulat atau terima bulat-bulat.

Yang kita hendak tengok adalah menyesuaikannya mengikut pencapaian pelajar," katanya menjawab soalan Senator Prof Datuk Dr Firdaus Abdullah pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Hishammuddin berkata antara cadangan yang akan dibentangkan kepada Kabinet ialah menggunakan Bahasa Melayu bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah, atau menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda bagi mata pelajaran tersebut di sekolah rendah dan menengah.

"Alternatif lain ialah bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah sendiri, penggunaan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah," katanya. Beliau berkata cadangan itu dibuat hasil daripada pelbagai perbincangan, mesyuarat dan persidangan secara terbuka yang dibuat antaranya melibatkan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak kerajaan dan pembangkang.

"Walaupun kita telah mendapat pelbagai alternatif melalui persidangan meja bulat, mesyuarat profesional, memorandum atau pemberitahuan daripada pelbagai medium ia bukanlah satu formula yang dapat menyelesaikan semua permasalahan yang timbul dalam penentuan masa depan dasar ini," katanya.

Hishammuddin berkata apa jua keputusan yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti empat perkara utama akan diambil kira iaitu kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan terus dimartabatkan selain penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar akan diperkasakan.

Perkara lain ialah kompetensi guru dalam mengajar Sains dan Matematik akan diutamakan dan pencapaian para murid dalam dua mata pelajaran itu akan terus dipertingkatkan, tambah beliau.

Tiada ulasan: