SIASAH DAILY
SUNGAI PETANI : Lambang, slogan dan gelagat calon-calon bebas beserta penyokong mereka lebih menarik perhatian di Bukit Selambau - sepanjang proses penamaan calon berlansung semalam.
Berbeza dengan penglibatan biasa calon bebas dalam mana-mana pilihan raya kecil, di Bukit Selambau calon-calon bebas yang menawarkan diri untuk bertanding tidak lagi datang ditemani tiga, empat orang penyokong atau dengan tangan kosong sahaja, sebaliknya kehadiran mereka lebih bergaya.
Terdapat calon bebas yang datang dengan hampir 500 ratus para penyokongnya, mereka turut mendirikan pondok-pondok panas dan melaungkan slogan-slogan mereka sepanjang menunggu proses penamaan calon selesai seperti mana yang dilakukan oleh para penyokong Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dianggap parti utama bertarung dalam pilihan raya itu.
Ada juga calon bebas yang datang diiringi paluan kompang dan aksi-aksi menarik perhatian,membawa kain rentang dengan slogan masing - masing atau sekurang-kurangnya mempunyai poster besar yang dibawa oleh penyokong mereka.
Seorang calon Bebas yang menamakan dirinya sebagai Tok Misai mencuri perhatian apabila para penyokongnya 'mengaum' beramai-ramai ketika mengiringi calon tersebut sewaktu datang dan pulang daripada pusat penamaan.
Beberapa puluh meter dari mereka, penyokong PKR dan BN melaung-laungkan slogan-slogan yang sangat kerap didengari, seorang penyokong Tok Misai memberi kelainan menempik ungkapan 'mengaum' kemudiannya disambut beramai-ramai oleh kumpulan mereka dengan 'auummmm'.
Selain itu para calon bebas turut menggunakan lambang-lambang yang disifatkan 'lucu' oleh sebahagian orang ramai yang kebanyakannya tidak pernah menyaksikan situasi seperti itu,antaranya Ayam Jantan, Kepala Harimau, Kapal Terbang, Jam Loceng, Kelapa Sawit, Telefon,Ikan, Bas dan basikal.
Slogan-slogan mereka pula antaranya berbunyi 'Bersama-sama Berjuang menegakkan Agama, Bangsa dan Tanah Air,'Perpaduan ke Arah Kesejahteraan','Menghapuskan Budaya Politik Lompat dan 'Maju Bersama Rakyat'.
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau mencipta sejarah apabila 15calon disahkan bertanding selepas proses penamaan berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari.
Bagaimanapun ia lebih menimbulkan tanda tanya dengan kehadiran begitu ramai individu yangberminat untuk menawarkan diri sebagai calon.
Beliau bimbang kehadiran ramai calon itu sebagai tektik kotor untuk mengalahkan PKR di Bukit Selambau.
Selain calon BN, S. Ganesan (BN) dan Calon PKR, S. Manikumar calon yang bertanding atastiket Bebas ialah R. Loganathan, Tan Hock Huat, Radzi Md Lazim, Mohd Fazil Abdul Wahab,Abdul Rahim Abdul, L.Sarala, A. Jayagopal, S. Mogankumar, Khamis Awang, Husaini Yaacob, M. Vaneson, Anuar Abdul Hamid dan T. Chandrarajah.
Penyokong PKR dilihat paling ramai hadir mengiringi calon mereka, iaitu sekitar 5000 orang yang berkumpul seawal jam 7.00 pagi sebelum berarak kira-kira satu kilometer ke pusat penamaan, Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani kira-kira jam 8.15 pagi.
Penyokong BN yang datang dari laluan yang dipisahkan dari penyokong PKR untuk meng iringi calon mereka pula, dianggarkan sekitar 2000 orang, manakala calon Bebas bergerak dalam kumpulan yang lebih kecil dari dua parti utama itu.
Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon yang dikawalketat oleh ratusan anggota polis dengan kekuatan pelbagai unit termasuk FRU.
Sementara itu, para pemerhati mula melihat perkembangan di Bukit Selambau sebagai sesuatu yang semakin sukar untuk meramalkan potensi kemenangan sama ada BN maupun PKR.
Kehadiran begitu ramai calon bebas disifatkan akan mengganggu undi pada hari pengundian serta menyukarkan proses berkempen, tetapi ada yang melihat calon-calon tersebut merupakan strategi yang digunakan oleh BN untuk meraih kelebihan di pihak mereka.
Daripada 13 calon Bebas tersebut, enam daripada mereka adalah bangsa Melayu, enam daripada kaum India dan seorang berbangsa Cina.
Kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, dalam situasi seperti itu, penerangan dalam kempen mesti menekankan bahawa semua calon-calon mesti ditolak.
"Cara itu lebih mudah supaya tidak ada pengundi keliru," kata beliau yang ditemui di lokasi penamaan calon.
Tambah beliau, ada seorang calon Bebas yang beliau kenali merupakan seorang ahli Umno.
"Tetapi dalam kontek ini mungkin undi kepada BN yang akan pecah," katanya lagi.
Selain Mahfuz, pemimpin PAS yang turut mengiringi calon PKR ialah, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Syed Azman Syed Nawawi.
Turut hadir ialah pimpinan-pimpinan PAS peringkat negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang ditanya kemungkinan undi kepada PKR akan terjejas dengan perkembangan tersebut, mengakui faktor itu akan memberi kesan kepada jumlah undi kerana begitu ramai calon yang bertanding tetapi bukan kepada undi PKR sahaja.
"BN dan calon-calon Bebas juga akan terjejas undi mereka dengan penyertaan yang ramai begini," kata beliau yang mengetuai perarakan mengiringi calon partinya pagi tadi.
Bagaimanapun kata Azmin, beliau masih yakin PKR mampu memenangi pilihan raya kecil ini terutamanya kerana faktor calon PKR akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri sekiranya menang dalam pilihan raya nanti.
"Orang Bukit Selambau sudah lama ketinggalan, masih ramai yang hidup dalam keadaan dhaif dan mereka mahukan perubahan. Sekarang mereka mempunyai peluang untuk mendapat seorang Exco yang akan berkhidmat bersama-sama kerajaan Pakatan Rakyat Kedah " katanya.
Sebelum itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussin ketika ditanya media mengenai potensi BN di lokasi yang sama, turut optimis dengan kemenangan colon pihaknya.
Kata Hishamuddin, perubahan yang berlaku dalam BN khususnya Umno mampu mengembalikan kepercayaan rakyat.
Malahan katanya, beliau juga melihat kerjasama yang erat dalam BN dalam tiga pilihan rayakecil yang diadakan secara serentak bermula hari ini, menambahkan keyakinannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan