HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Mac 2009

Panel Selcat kecewa jawapan Pengarah Jais

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dibidas Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor di atas tindakannya yang disifatkan tidak menghormati sesi pendengaran awam berhubung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Ahli panel Selcat, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau kesal dengan sikap Mohammed Khusrin dalam mengemukakan jawapan-jawapannya selepas disoal Selcat.

“Saya sendiri malu mengaku sebagai orang Islam apabila orang paling berpengaruh dalam sebuah jabatan Islam memberi jawapan sedemikian,” katanya.

Azmin berkata demikian ekoran jawapan yang diberikan Mohammed Khusrin sebagai Pengarah Jais disifatkan sebagai tidak munasabah dan seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah.

Terdahulu, Mohammed Khusrin yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam (MAIS) telah mengesahkan sepucuk surat berhubung peletakan lima orang pegawai MAIS di Kompleks Wawasan Balkis.

Bagaimanapun surat tersebut telah ditandatangani bekas Yang di Pertua Balkis, Asbi Rohani Asnan, isteri kepada Tan Sri Muhammad Muhdd Taib sedangkan Yang di Pertua Balkis ketika itu ialah Datin Seri Zaharah Kechik, Isteri kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khir Toyo.

“Saya rasa ini (tandatangan) tidak penting kerana surat masih dikeluarkan oleh pihak Balkis. Lagipun saya tak kisah kerana ini bukan hal saya dalam menentukan siapa Yang Dipertua Balkis ketika itu,” kata Mohammed Khusrin.

Jawapan yang diberikannya juga disifatkan Selcat sebagai tidak patut dikeluarkan kerana ia menggambarkan seolah-olah beliau tidak mengambil berat sesuatu perkara sedangkan beliau merupakan antara pemegang jawatan tertinggi dalam badan kerajaan.

Sesi pendengaran awam tersebut menjadi sedikit tegang apabila kedua-dua pihak dari Selcat dan saksi masing-masing meninggikan sedikit suara.

Bagaimanapun, Mohammed Khusrin telah memohon maaf di atas kelakuannya sebelum dibenarkan Selcat untuk beredar.

Tiada ulasan: