Abdul Rahim Sabri
Seorang perwakilan Umno Sabah mengibaratkan Umno - yang kalah teruk dalam pilihanraya umum tahun lalu - seorang pesakit jantung yang terselamat dalam serangan awal penyakit tersebut.
"Tapi kalau tidak ambil tindakan segera untuk merawat penyakit tersebut, kemungkinan serangan jantung (seterusnya) akan menjadi lebih parah dan membawa maut (kepada Umno)," kata Datuk Tawfiq Abdu Bakar Titingan.
"Kalau nak berubat, kena ikut cakap panel doktor, iaitu saf kepimpinan Umno baru yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika berucap menyokong usul terima kasih terhadap ucapan presiden Umno hari ini.
"Kita jangan merasa selesa, lantas kita menjadi leka, kubu sudah menjadi retak menanti belah," katanya, sambil menambah bahawa bagi setiap sepuluh undi - lima daripadanya menyokong pembangkang.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa pemimpin yang menang bukan setakat memanaskan kerusi jawatan tetapi harus memikul amanah besar terhadap tiga juta ahli Umno dan rakyat.
"Wakil rakyat Umno harus menjadi pemimpin untuk semua, barulah ia akan dihormati dan menentukan masa depan anak bangsa Melayu," kata ketua Umno Tawau.
Tawfik berkata, walaupun BN Sabah memenangi 59 kerudi DUN dan 24 daripada 25 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum lalu, tetapi kegembiraan itu menjadi hambar kerana kekalahan di Semenanjung.
'Rasa kesegeraan'
"Sabah tidak menduga keputusan di luar jangkaan itu, antaranya enam negeri, termasuk Wilayah Persekutuan, jatuh ke tangan pembangkang dan kerana itu BN gagal mempertahan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat," katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan para perwakilan bahawa pilihanraya umum ke-13 akan diadakan dalam tempoh tidak jauh lagi.
Oleh itu, tegasnya, perlu ada rasa kesegeraan dengan sanggup "berubah sebelum menjadi rebah".
Beliau kemudiannya bertanya para perwakilan sama ada mereka hendak bercakaran sesama sendiri.
Dan dewan persidangan bergegar dengan jawapan "tidak mahu" dari para perwakilan.
Menurutnya, matlamat parti tersasar kerana ada persepsi terhadap Umno yang dianggap "syok sendiri, merebut jawatan sesama sendiri, guna jawatan untuk kepentingan diri dan kroni".
"Jangan sebab nila setitik, rosak susu sebelanga, jangan ada jurang sesama kita.
"Jurang itu wujud kerana kita gagal membaca kesulitan rakyat, gagal dengan perang psikologi untuk menguasai rakyat.
"Kita gagal untuk menyelesaikan isu yang berkaitan dengan kepentingan, hak-hak rakyat," tambahnya.
Menurutnya, sokongan golongan muda terhadap Umno dan BN juga berkurangan, terutama dalam pilihanraya umum lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan