Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Barisan Nasional (BN) masih tidak berubah sikap zalimnya sepertimana yang disaksikan dengan cara pihak polis menangani ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Petani semalam.
Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata, tindakan keras pihak polis menembak meriam kimia terhadap orang awam secara rambang sehingga mengancam keselamatan kanak-kanak, wanita dan orang tua semalam.
"Mereka yang datang mendengar ucapan Ketua Pembangkang tidak melakukan apa-apa jenayah tetapi telah dilayan seperti penjenayah," katanya.
Ahli Parlimen Kuala Kedah itu dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan, kebiasaannya meriam air bertekanan tinggi digunakan bagi menyuraikan orang awam dan bukan meriam kimia yang mungkin mengakibatkan kematian.
"Apakah pihak polis bertindak profesional dalam perkara ini jikalau benar-benar ingin menyuraikan orang ramai? Ataupun pihak polis berpihak kepada BN untuk menindas mereka yang menyokong Pakatan Rakyat?" katanya.
Ahmad juga menjelaskan bahawa pihak polis tidak mempunyai sebab untuk menghalang ceramah tersebut kerana tempat ceramah terletak di lokasi lapang dan bebas dari gangguan trafik.
"Pihak polis tidak wajar menggunakan alasan tiada permit ini untuk menyekat aktiviti Pakatan Rakyat khasnya menjelang pilihan raya kecil Bukit Selambau," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan