HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mac 2009

Hanya 1,300 syarikat bayar zakat

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Walaupun jumlah pembayar zakat meningkat tetapi masih ramai lagi yang belum tampil membayarnya.

Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor (LZS), Ahmad Shahir Makhtar berkata Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2009 mengunjurkan jumlah penduduk Melayu di negeri ini yang berumur 25 tahun ke atas adalah lebih 1.2 juta.

LZS menganggarkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada jumlah tersebut adalah golongan layak membayar zakat.

“Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 15,000 syarikat berstatus aktif berniaga di negeri ini pada tahun 2007.

“Namun hanya 1,300 buah syarikat sahaja membayar zakat,” kata Ahmad Shahir sempena Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Agihan Zakat di Hotel Quality, Shah Alam, semalam.

Turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Engku Setia Lela Bestari Raja Datuk Seri Arshad Al Haj Raja Tun Uda Al Haj dan Datuk Siti Masalamah Osman.

Sebanyak enam syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM859,138.65 kepada Pengerusi LZS, Tan Sri Datuk Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.

Antara penyumbang adalah Bank Islam Malaysia, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Maybank Islamic Berhad, ESQ Leadership Center Sdn Bhd, Koperasi LLM Berhad dan HBM Consultancy Sdn Bhd.

Selain itu, LZS turut mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM608,320 kepada 15 individu, rumah kebajikan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Antara penerima adalah Pertubuhan Penawar Warisan, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas dan Perkid. Selangor.

Tiada ulasan: