HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2009

Ali nafi arah sokong calon timbalan tertentu

MALAYSIA KINI


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ali Rustam menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa terdapat arahan dari beliau kepada penyokongnya meminta mereka menyokong salah seorang calon yang bertanding bagi jawatan nombor dua dalam parti itu.

Ketua Menteri Melaka itu berkata tiada sebarang arahan seumpama itu dikeluarkan tetapi "sebaliknya terserah kepada kebijaksanaan penyokong saya dan perwakilan".

Beliau berkata, penyokongnya boleh membuat penilaian terhadap mana-mana calon timbalan presiden dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan.

"Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, penyokong saya dan perwakilan bebas menyokong mana-mana calon timbalan presiden yang bertanding merebut jawatan itu pada pemilihan ini.

"Tiada arahan untuk sokong sesiapa, segala-gala terserah kepada mereka. pada diri saya, saya akan menyokong kedua-duanya kerana mereka adalah sababat baik saya," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek perumahan rakyat, Taman RKSK Kampung Tun Razak, dekat Bukit Katil di Melaka hari ini.

Khamis ini, pemilihan Umno akan menyaksikan persaingan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Mohd Ali kini terkeluar dari saingan merebut jawatan itu apabila beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno mengikut perkara 10.1 tataetika ahli umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejennya terlibat dalam sogokan politik.

Kuatkan semangat

Pada 20 Mac lalu, Panel Rayuan Umno menolak rayuan Mohd Ali terhadap keputusan Lembaga Disiplin Umno itu.

Mengenai pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap sikap dan komitmennya terhadap parti, Mohd Ali berkata:

"Terima kasih kepada perdana menteri kerana terus memberi kepercayaan kepada saya. Ini akan menguatkan semangat saya untuk terus memberi khidmat yang terbaik kepada parti dan negara," katanya.

Justeru itu, Mohd Ali berkata, beliau akan terus berkerja seperti biasa dalam kerajaan dan parti serta menyertai perhimpunan umno yang dijadualkan bermula esok.

"Keputusan Lembaga Disiplin melarang saya tidak boleh bertanding jawatan timbalan presiden Umno, tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat kepada parti dan negara," katanya.

Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan kerja ke kuwait memuji sikap dan komitmen ditunjukkan oleh naib presiden umno itu walaupun dihalang bertanding jawatan timbalan presiden umno pada pemilihan parti minggu ini.

Tiada ulasan: