HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mac 2009

Buang pekerja bukan penyelesaian

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA – Tindakan memberhentikan pekerja bukan penyelesaian bijak ketika berdepan krisis ekonomi, kata Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Beliau berkata, majikan sepatutnya menggembleng sepenuhnya tenaga kerja sedia ada bagi meningkatkan kualiti dan keupayaan syarikat bersaing di pasaran.

“Keputusan memberhentikan pekerja seharusnya dielakkan kerana ia akan memudaratkan lagi krisis ekonomi yang dihadapi.

“Pemberhentian pekerja berkait langsung dengan kadar pengangguran negara dan akan memberi kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan NCB Holdings Bhd. (NCB) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan NCB, Datuk Dr. Abdul Samad Mohamed serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Basheer Hassan Abdul Kader.

PNB merupakan pemegang saham terbesar kepada syarikat NCB menerusi pegangan saham 56.9 peratus sementara selebihnya dimiliki oleh Port Klang Authority dan MISC Enterprise.

Tiada ulasan: