HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2009

KDN sepatutnya turut menggantung PAS

Shirzad Lifeboat


Untuk memudahkan urusan, Umno-BN yang menguasai kerajaan sepatutnya meminda sahaja Akta Pertubuhan dan meletakkan pendaftaran parti politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Selagi parti politik bernama pembangkang wujud, maka selagi lagi itulah parti yang menguasai kerajaan terpaksa menghadapi macam-macam soalan yang ditimbulkan selain daripada terpaksa bersaing untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh.

Sebagai parti yang menguasai kerajaan, Umno-BN harus bertembung pembangkang di Parlimen, di Dun dan terpaksa pula berasa cuak dengan media mereka.

Adalah sudah menjadi satu hakikat betapa pemimpin Umno-BN merasakan diri mereka serba sempurna, kalis-kesilapan, bersih dari segala jenis rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sama ada di peringkat parti ataupun kerajaan dan paling penting mempunyai imuniti mutlak.

Atas keyakinan yang seakan-akan sudah menjadi satu kesinambungan tradisi ini maka parti politik lain yang akan muncul sebagai pembangkang tidak relevan sama sekali dalam konteks Malaysia.

Sekiranya akhbar pembangkang dipersepsikan sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan keselamatan dalam negeri dalam erti kata sebenarnya (dan bukannya menjejaskan keselamatan parti pemerintah), maka barangkali pemimpin Umno-BN perlu memikirkan betapa parti yang memiliki akhbar tersebut lebih berbahaya ke atas keselamatan negara.

Dalam keadaan Umno-BN yang seratus sempurna, tanpa cacat cela dan begitu diyakini dan diterima oleh rakyat, maka tindakan yang sepatutnya dilakukan ialah memasukkan peruntukan pendaftaran parti politik ke dalam Akta KDN yang hanya memerlukan budi bicara seorang menteri sahaja untuk mengharamkan semua parti politik yang dianggap 'berbahaya'.

Tidak perlu bimbang kepada apa yang bakal diperkatakan oleh dunia luar. Sebagai sebuah negara paling istimewa di dunia (sehinggakan keselamatannya sentiasa terancam kerana dicemburui oleh banyak pihak dan memerlukan satu undang-undang yang mana peruntukannya mengizinkan apa juga tindakan tidak boleh dipersoal oleh sesiapa), pemimpin Umno-BN boleh menjelaskan kepada dunia betapa Malaysia mengamalkan sejenis demokrasi paling unik dan istimewa dan tidak diamalkan oleh mana-mana negara di dunia ini hatta di 'Utopia' sekalipun sekiranya negara itu pernah benar-benar wujud.

Oleh itu, apalah gunanya menggantungkan akhbar seperti Harakah. Ia hanyalah sebuah penerbitan, sebuah media dan lembaran kertas yang bercetak.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh Umno-BN yang menguasai kerajaan ialah mengharamkan semua parti politik yang berprospektif menjadi pembangkang (kecuali parti yang sanggup bergabung dengan BN).

Pilihan raya masih boleh diadakan. Malah ia memudahkan rakyat kerana tidak perlu pergi mengundi kerana semua calon Umno-BN akan menang tanpa bertanding.

Cara ini lebih mudah dan lebih tidak memeningkan bagi pemimpin Umno-BN. Tidak ada persoalan yang harus dijawab dan tidak ada imej parti dan maruah tokoh tertentu yang perlu diselamatkan dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. - mns_

Tiada ulasan: