Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Hadzlihady Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim
KUALA LUMPUR: Keinginan memiliki tubuh langsing dan cantik menyebabkan seorang pengarah syarikat mati selepas menjalani rawatan membuang lemak di sebuah pusat kecantikan terkemuka di Ampang, petang kelmarin.
Mangsa, Noraini Mohd Ghazali, 30, yang menjalani rawatan lebih 14 kali di pusat kecantikan itu sejak tahun lalu meninggal dunia ketika menjalani rawatan susulan untuk menghilangkan rasa sakit pada pinggul kesan penggunaan ubat-ubatan yang belum dikenal pasti sumber diperoleh.
Dia meninggal dunia beberapa jam selepas menerima suntikan daripada doktor bertauliah di situ.
Noraini ditemani kakak angkatnya, Misha Abu Bakar, 46, pergi ke pusat itu kira-kira jam 3 petang kelmarin bagi mendapatkan rawatan susulan terbabit.
Beberapa bulan lalu, dia pernah menjalani proses pelangsingan iaitu menyedut lemak pada punggung sebelum mengadu sakit pada pinggul malam kelmarin lalu mengajak kakak angkatnya ke pusat terbabit.
Menurut Misha, Noraini mendakwa sakit pada pinggul selain tidak berselera makan sebelum meminta ditemani ke pusat berkenaan esoknya (kelmarin).
“Pada sebelah malam, Noraini ingin ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Dia beria-ia mahu ke sana, malah masih sempat singgah di kedai untuk membeli beberapa helai pakaian sebelum bergegas ke pusat itu.
“Sebaik tiba, dia terus pergi mendapatkan rawatan sementara saya menunggu di bawah premis itu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.
Selepas beberapa jam menunggu, kata Misha, dia berasa tidak sedap hati sebelum meminta seorang pembantu pusat kecantikan itu menghubungi doktor untuk bertanyakan keadaan adik angkatnya itu.
Lagipun, dia berkata, mangsa hanya mahu melakukan pemeriksaan susulan, bukannya membuat pembedahan.
“Jadi bagi saya, ia tidak mungkin mengambil masa lama. Kira-kira jam 6 petang, seorang pembantu datang mengarahkan saya naik ke tingkat atas untuk bertemu dengan doktor terbabit,” katanya.
Misha yang menganggap perlakuan doktor itu agak pelik kemudian dimaklumkan Noraini sudah meninggal dunia.
“Doktor itu juga mendakwa Noraini muntah tiga kali sebelum tertelan muntah terakhir sebaik disuntik ubat tahan sakit menyebabkan dia meninggal dunia.
“Malah, doktor itu memberitahu, dia sudah cuba menyelamatkan Noraini lebih 45 minit, namun tidak berjaya sebelum meminta saya menerima kejadian itu dengan hati terbuka dan bersabar,” katanya.
Sebaik melihat jenazah mangsa terbaring kaku di atas katil, dia menghubungi suami mangsa, Zaharuddin Zainuddin, 35.
Sementara itu, Zaharuddin berkata, sebaik dimaklumkan kejadian itu, dia bergegas ke pusat itu, tetapi tiba agak lewat kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
“Saya pernah menyuruh isteri menghentikan rawatan seumpama itu, namun mungkin sudah takdirnya begitu.
“Mana tidaknya, isteri pernah beritahu saya terdapat benang ditinggalkan dalam tubuhnya selepas menjalani rawatan. Saya tidak pasti dakwaan itu. Apapun, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika punca kematian Noraini disebabkan kecuaian doktor,” katanya.
Zaharuddin berkata, sekiranya laporan bedah siasat membuktikan pihak terbabit cuai, mereka sepatutnya bertanggungjawab terhadap insiden itu.
Mangsa meninggalkan tiga anak, Puteri Nur Shamimi Ameza, 11, Mohd Akmal Sharmiza, 9, dan Mohd Abid Danish Nasmine, 3 dan masing-masing kini dijaga Zaharuddin.
Jenazah mangsa dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan, untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, mengesahkan kejadian berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan