BERNAMA
KUALA LUMPUR Polis sudah mengenal pasti identiti seorang lelaki yang menyamar dan menipu dua wanita dengan melarikan barangan kemas mereka dua hari lepas ketika kesibukan menjelang Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Perhimpunan agung itu bermula semalam dan berakhir pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abd Rahman berkata lelaki tersebut yang berusia 26 tahun, dikenal pasti turut terlibat dalam lapan kes penipuan sejak 2007.
Beliau berkata modus operandi yang digunakan lelaki itu ialah dengan memperkenalkan dirinya sebagai anak atau saudara kepada orang kenamaan tertentu, bagi memperdaya dan mendapat kepercayaan mangsa.
"Kebiasaannya suspek mensasarkan orang tua. Apabila sudah mendapat kepercayaan mangsa, suspek kemudiannya akan menawarkan pekerjaan dan meminta mangsa berjumpa dengan bapanya yang didakwanya orang kenamaan. "Ketika sampai di satu pejabat tertentu, suspek akan memberitahu mangsa bahawa barang kemas mereka tidak boleh dibawa masuk kerana langkah sekuriti yang ketat.
"Mangsa yang percaya dengan kata-kata lelaki terbabit, akan meninggalkan barang kemas mereka kepada suspek. Suspek kemudianya akan melarikan dari situ," katanya kepada Bernama.
Zulkarnain berkata suspek pernah ditahan pada 2007 atas kesalahan menipu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin.
Katanya ketika hari perbicaraan, suspek tidak hadir dan menghilangkan diri dan waran tangkap telah dikeluarkan ke atasnya.
Zulkarnian meminta orang ramai terutama yang berada di PWTC supaya berhatihati dan segera merujuk kepada polis jika ada pihak tertentu yang mendekati dan menggunakan taktik yang sama ke atas mereka.
Polis turut mengedarkan gambar suspek bagi langkah berjaga-jaga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan