Abdul Rahim Sabri
Perarakan membawa keris Panca Warisan - yang mencetuskan pelbagai pelbagai pihak - tidak akan diadakan lagi oleh Pemuda Umno dalam Perhimpunan agung pergerakan itu yang akan datang.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata perarakan keris Panca Warisan hari ini adalah yang terakkhir oleh pergerakan tersebut.
"Itu merupakan adat. Sekarang ini keris (tersebut) diserahkan kepada saya, saya nak bawa bersama-sama saya kepada parti induk.
"Saya harap isu keris ini akan ditutup," katanya kepada pemberita selepas menyampai ucapan dasarnya di perhimpunan agung Pemuda Umno pagi ini.
Ditanya mengenai sensitivi isu keris itu, Hishammuddin menjawab: "Tidak, keris ini diserahkan kepada saya untuk saya menjaganya secara peribadi.
"Keris Panca Warisan tak ada lagi pada pergerakan pemuda. Ia ada bersama-sama dengan saya," tambahnya.
"Saya bertanggungjawab untuk membawa (keris itu) bersama-sama saya, insya-Allah, jika diberi tempat di peringkat tertinggi parti.
"Bagi saya ia adalah satu penutup kepada perkara yang digembar-gemburkan, perkara yang seharusnya tidak sepatutnya timbul salah faham," katanya.
Menurut Hishammuddin lagi, tidak ada niat di sebalik apa yang dilakukan, selain untuk melihat keris sebagai simbol yang boleh menyatupadukan (dan) simbol untuk merapatkan pelbagai kaum.
"Tetapi bila disalahtafsirkan oleh mereka yang berkepentingan, maka hari itu saya telah meminta maaf.
"(Dan) hari ini saya telah menjalankan adat. Akhirnya amanah itu telah diserahkan kepada saya untuk dibawa ke hadapan," katanya.
Reaksi Khairy
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan ia bukan satu tindakan mengalah, tetapi sebagai satu penghormatan kepada budaya dan warisan.
"Saya tabik (pada Hishammuddin), saya nampak keris mencerminkan pemimpin yang berjiwa besar.
"Hishammuddin tidak lupakan asal usul bangsa dan warisan Melayu," tambahnya.
Menurut Khairy lagi, ia juga membuktikan Hishammuddin faham perasaan yang tidak selesai di kalangan kaum lain di negara ini.
Beliau berkata, Hishammuddin cuma mencium keris kali ini tetapi tidak mengangkatnya seperti sebelum ini.
"Semangat kemuliaan harus dikekalkan tradisinya. Keris mempunyai pelbagai makna.
Manakala exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata Hishammuddin mengekalkan cara terhormat kerana keris merupakan simbol perjuangan untuk semua.
"Saya merayu supaya kaum lain tidak salah faham," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan