Ali Bukhari Amir
Mesyuarat pengedaran Harakah esok dijangka panas susulan cadangan menerbitkan akhbar baru Hujah bagi mengatasi masalah penggantungannya selama tiga bulan.
Penyelia pemasaran tabloid PAS itu Mahani Mohamad berkata, ramai pengedar melihat penjenamaan baru Harakah boleh mendorong orang ramai melupakan nama akhbar politik berpengaruh itu selama 22 tahun.
"Daripada maklum balas sebelum ini, memang ramai pengedar yang merungut mengenai isu penukaran nama Harakah. Mereka cakap, kenapa kita harus tunduk kepada kehendak Umno dan BN?
"Kenapa tidak diteruskan pengedaran itu seperti biasa?" kata Mahani kepada Malaysiakini hari ini.
"Para pengedar kita pun ramai yang kecewa dengan pertukaran nama Harakah. Kesannya amat ketara. Apabila orang melihat (sesebuah) kedai itu tidak menjual Harakah, orang terus tidak mencari lagi pengganti sementara Harakah yang ditukar nama baru."
Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman menjelaskan, keputusan menerbitkan Hujah setebal 48 halaman ala tabloid rasmi PAS itu dibuat dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah semalam
"Kita akan tetap meneruskan perjuangan dan kita akan beroperasi seperti biasa," katanya.
Pegawai pemasaran Harakah, Khairul Azizul Aziz membangkitkan isu kekecewaan pengedar-pengedarnya terhadap keputusan mengejut Kementerian Dalam Negeri (KDN), Isnin lalu.
"Pengedar kami terus mendesak saya dengan pelbagai pertanyaan. Selama 20 tahun lebih, kita sudah guna nama itu.
"Kita pernah cetak akhbar dengan nama lain daripada Harakah. Ternyata, orang ramai tidak beli akhbar tersebut," katanya.
"Pada saya, nama Harakah cukup mahal harganya."
Bagaimanapun beliau, yang berpengalaman dalam pengedaran tabloid itu, berharap penerbitan Hujah tidak menjejaskan penjualannya, yang dijangka menemui pembaca menjelang Jumaat minggu depan.
Ditemui di pejabatnya di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur, Mahani turut menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan KDN yang mendatangkan kerugian kepada operasi Harakah.
"Tak tahulah selepas ini, mungkin kita kena potong beberapa kos untuk mengelakkan kerugian pula. Apabila tukar nama Harakah, kita nak cetak 100,000 (naskhah) pun kita takut jumlah naskhah yang tidak laku nanti tinggi.
"Kerana, ada kemungkinan orang tidak akan beli Harakah jenama baru itu. Hal ini pun mesti difikirkan oleh pemimpin atasan parti," katanya.
Tambahnya, mungkin tidak ramai pengedar hadir pada mesyuarat esok kerana mereka melihat bahawa pendapat mereka kerap tidak dipertimbangkan oleh pemimpin atasan PAS.
"Jadi, mereka kecewa. Setiap kali mesyuarat antara pengedar dibuat (dengan PAS), memang banyak isu berbangkit dan ada yang pulang dengan rasa kecewa kerana masalah mereka tidak dapat diselesaikan," kata Mahani lagi.
Malaysiakini difahamkan lebih kurang 50 pengedar akan hadir untuk mendengar taklimat khas perkembangan terbaru tabloid itu.
Notis mesyuarat pengedaran itu dikeluarkan oleh bahagian pemasaran Harakah hari ini. Para pengedar diminta hadir jam 10 pagi esok di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.
Pengerusinya Datuk Mustafa Ali dijangka hadir menyampaikan keputusan terkini pemimpin PAS dan juga mesyuarat ahli lembaga pengarah Harakah semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan