HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Mei 2009

Bangunan MARA bakal dirobohkan

Wan Kay


KUALA TERENGGANU - Para peniaga yang menyewa bangunan MARA dihadapan Taman Shahbandar dekat sini menghadapi dilema kerana bangunan tersebut akan dirobohkan.

Mereka terpaksa berpindan dan mencari premis baru sedangkan hakikatnya Terengganu masih kekurangan ruang niaga bagi usahawan kecil khususnya orang Melayu menjalankan perniagaan masing-masing.

Banyak pihak yang mempertikaikan keputusan pihak pengurusan MARA yang berhasrat merobohkan bangunan tersebut sedangkan ianya masih elok dan kukuh.

Para peniaga kini terpaksa mencari dana tambahan bagi mengongkosi perpindahan dan juga premis baru yang sudah pasti mencecah ribuan ringgit.

Seorang peniaga, Haji Mohd Fauzi Mohamad mempersoalkan kewajaran kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang menyokong tindakan mahu merobohkan bangunan tersebut.

Katanya, kerajaan wajar membuat pertimbangan semula keputusan tersebut dalam situasi kegawatan serta kelembapan ekonomi masakini.

“Saya rasa dalam keadaan ekonomi yang lembab dan tidak rancak kenapa perlu kerajaan bazirkan wang rakyat untuk roboh dan bina bangunan baru.

“Bangunan MARA ini masih elok, baik dan kukuh meski pun telah berusia 30 tahun,” jelasnya.

Menurutnya, bangunan tersebut milik MARA yang menyediakan premis perniagaan kepada usahawan Melayu di negeri ini.

Beliau yang menjalankan perniagaan di premis berkenaan sejak 20 tahun lalu tetapi masih belum mampu memiliki bangunan sendiri.

Saudara Mohd Fahmi Fauzi, 27, merayu kerajaan negeri menangguhkan sedikit masa sehingga keadan ekonomi pulih dengan baik.

Katanya, bayaran sewaan premis di bangunan kepunyaan MARA agak rendah serta membolehkan usahawan Melayu berniaga.

“Kami (penyewa) bukan tidak mahu pindah tetapi sewa premis di sini (MARA) masih rendah dan boleh ‘hidup’ (berniaga).

“Semua bangunan yang ada di Bandar Kuala Terengganu ini sewaan melebih RM 2,500 sebulan dan kami (peniaga) tidak mampu,” ujarnya.

Katanya, kerajaan yang prihatin wajar membantu rakyat yang tidak mampu apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang lembab.

Seorang peniaga yang enggan disebut namanya berkata notis pindah telah dikeluarkan dan banyak premis perniagaan telah dikosongkan kerana bimbang tindakan undang-undang dikenakan.

“Bangunan MARA ini akan dirobohkan dan pihak terbabit mahu membina bangunan yang lebih tinggi.

“Mereka (kerajaan) tidak fikir sangat nasib berapa berapa ramai usahawan kecil Melayu yang terpaksa ‘tutup kedai’ atau cari premis baru yang mencecah ribuan ringgit sebulan,” ujarnya dengan nada terharu.

Buletinonline dimaklumkan, bangunan MARA tersebut wujud sejak tahun 70-an dengan kadar sewaan serendah RM300 sebulan yang menempatkan ruang pejabat ditingkat satu serta premis perniagaan.

Persoalannya, kerajaan BN negeri dan Pusat yang kini cuba mempopularkan slogan ‘merakyatkan pembangunan’ dan ‘mengutamakan rakyat, sebenarnya telah gagal melindungi kepentingan peniaga kecil khususnya bagi usahawan-usahawan Melayu terutama di Kuala Terengganu.

Tiada ulasan: