SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Lima kematian akibat demam denggi dicatatkan dalam tempoh antara 3 hingga 9 Mei lepas (minggu ke-18), menjadikan 48 kematian dilaporkan setakat ini bagi tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, jumlah kes demam denggi di negara ini juga mencatatkan peningkatan sebanyak empat kes, iaitu 874 kes bagi tempoh itu berbanding 870 kes pada minggu ke-17 (26 April hingga 2 Mei).
“Jumlah terkumpul kes tahun ini ialah sebanyak 19,275 kes berbanding 13,891 kes dengan 33 kematian bagi tempoh yang sama pada 2008,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, tujuh negeri mencatatkan peningkatan kes denggi bagi tempoh itu iaitu Kedah sebanyak sembilan kes, Kelantan lapan kes, Johor 23 kes, Pulau Pinang 22 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 20 kes, Melaka tiga kes dan Perak 13 kes.
Sehingga 9 Mei lalu, 63 kawasan panas dilaporkan dengan 57 daripada lokaliti itu adalah di Selangor, empat lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala bakinya dari Johor.
Dr Mohd Ismail berkata, sejumlah 579 kompaun bernilai RM68,850 dan 201 notis arahan pembersihan telah dikeluarkan di seluruh negara pada minggu ke-18 terhadap pemilik premis yang didapati membiak Aedes dan menyimpan takungan berpotensi bagi pembiakan Aedes.
Katanya, 71 peratus daripada kawasan rumah kediaman dan kedai yang diperiksa masih menjadi tempat positif pembiakan Aedes, diikuti kilang (19 peratus), perkuburan dan pembahagi jalan (17 peratus) serta tapak pembinaan (14 peratus).
“Ini menunjukkan sebilangan besar masyarakat masih lagi tidak prihatin tentang bahaya pembiakan Aedes di rumah dan kawasan kediaman mereka.
“Prestasi aktiviti gotong-royong juga tidak mencapai sasaran ditetapkan kerana hanya 70 peratus daripada sasaran 76 aktiviti sahaja yang dapat dijalankan minggu lepas,” katanya.
Bagi kes Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata, sejumlah 96 kes telah dilaporkan bagi tempoh yang sama (3 hingga 9 Mei) berbanding 71 kes pada minggu sebelumnya.
“Lima negeri telah menunjukkan peningkatan kes iaitu Kedah (empat kes), Pulau Pinang (tujuh kes), Selangor (33 kes), Kuala Lumpur-Putrajaya (dua kes) dan Sarawak (36 kes),” katanya.
Beliau berkata, jumlah terkumpul kes Chikungunya sehingga 9 Mei adalah 1,609 kes dan tiada kematian dilaporkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan