HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Mei 2009

Malaysia masih ada kelemahan

UTUSAN ONLINE


ATLANTA - Malaysia memiliki semua syarat penting untuk muncul sebagai pusat penyelidikan dan komersial bioteknologi penting di rantau ini, kata ahli Panel Penasihat Bioteknologi Antarabangsa (Bio-IAP) negara, Alexandre F. Jetzer.

Bagaimanapun katanya, masih ada kelemahan-kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki bagi menjadikan Malaysia sebagai pesaing penting dalam bioteknologi yang dianggap 'bidang masa depan' itu.

Menurutnya, antara yang perlu diperbaiki ialah keperluan perlindungan data terhadap setiap penyelidikan atau penemuan baru dalam bidang tersebut.

''Misalnya perlindungan data antara agensi-agensi kerajaan dan pusat-pusat pengajian tinggi perlu diseragamkan serta diperketatkan jika tidak mahu ia disalahguna oleh pihak-pihak tertentu," katanya ketika ditemui pada Konvensyen Bio Antarabangsa 2009 di sini semalam.

Jetzer yang merupakan Pengarah Kumpulan Novastis yang berpangkalan di Switzerland dilantik sebagai ahli panel Bio-IAP Malaysia sejak 2006. Bio-IAP dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Jetzer, selain itu Malaysia turut memerlukan lebih banyak saintis yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan bioteknologi seperti dalam bidang kimia, biokimia dan genomic.

''Bagaimanapun saya yakin, kelemahan-kelemahan itu akan dapat diperbaiki dengan segera kerana kerajaan Malaysia memang diketahui memberikan tumpuan serius dalam membangunkan industri bioteknologinya," katanya yang kali terakhir ke Malaysia pada bulan November tahun lepas.

Menurutnya, memang tidak dinafikan Malaysia memang telah ada semua syarat-syarat penting sebagai asas malah antara yang terbaik di rantau ini.

Antaranya, komitmen jangka panjang, disiplin pengetahuan yang tinggi, kesediaan menerima risiko, simpanan kewangan, keupayaan membuat keputusan yang cepat dan kestabilan ekonomi serta politik.

Lain-lain kelebihan Malaysia ialah di segi insentif cukai, kepelbagaian bio, perlindungan harta intelek yang baik, polisi pendidikan yang turut menekankan pengetahuan sains dan teknologi dan taraf hidup yang baik.

''Malaysia mampu menjadi pemain utama dalam bidang bioteknologi pada masa akan datang terutama dalam bidang penjagaan kesihatan dan pertanian," ujarnya.

Sementara itu, Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) semalam memulakan kerjasama dengan Larta Institute dari Amerika Syarikat untuk menubuhkan program inkubator usahawan bioteknologi di Malaysia.

Larta terkenal di Amerika Syarikat dalam menyediakan perkhidmatan profesional bagi membolehkan syarikat-syarikat yang dikenal pasti memasuki pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

''Ketika Malaysia sedang memasuki fasa kedua dalam Polisi Bioteknologi Kebangsaan - Sains kepada Perniagaan, kita mengalu-alukan inisiatif Larta menjana keperluan memenuhi fasa tersebut.

"Larta memainkan peranan penting dalam membolehkan usahawan Malaysia membina rangkaian meneroka pasaran antarabangsa bermula dari penemuan baru dalam makmal hingga ke pasaran antarabangsa terutama di Amerika Syarikat," kata Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp. Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Ketua Pegawai Eksekutif Larta, Rohit K. Shukla berkata, konsep yang cuba diterapkan untuk Malaysia ialah 'keluar dan masuk' iaitu membawa keluar peluang perniagaan dan kepakaran di Amerika Syarikat dan sebaliknya.

''Setakat ini kami telah membantu syarikat-syarikat dari negara lain menjana modal sebanyak AS$1.5 bilion dalam bidang penyelidikan dan perdagangan produk bioteknologi," katanya.

Tambahnya, Malaysia mampu maju dalam bidang penjagaan kesihatan, sains hayat dan pertanian kerana kepelbagaian bio yang ia ada selain polisi kerajaan dan pendidikan dalam bidang bioteknologi yang baik," katanya.

Tiada ulasan: