MALAYSIA KINI
Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kematian pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jempol, Negeri Sembilan, di hospital Seremban semalam akibat meningitis.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata hasil bedah siasat didapati mangsa mengidap acute pericarditis dan kementerian masih menyiasat punca sebenar kejadian ini.
"Buat masa ini, terdapat dua kes yang dirawat di wad pengasingan, Hospital Jempol. Keadaan mereka adalah stabil.
"Sebanyak 29 orang pelatih berada di dalam pemerhatian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata aktiviti pemantauan ke atas pelatih dan kakitangan di Pulapol itu terus dijalankan oleh petugas kesihatan selama 24 jam dan sesiapa yang mempunyai gejala jangkitan akan dirujuk terus ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.
Pagi semalam, Bernama melaporkan, orang ramai yang berada di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban heboh apabila mendapat tahu seorang anggota polis dari negeri ini baru meninggal dunia akibat jangkitan wabak tersebut.
Kekecohan itu dilaporkan berlaku selepas mereka melihat kakitangan hospital itu menggunakan penutup muka dan sarung tangan semasa menguruskan jenazah seorang anggota polis yang berasal dari Sabah yang meninggal di hospital itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainal Ariffin Omar semalam berkata jenazah anggota polis terbabi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan