HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Mei 2009

Najib Penakut

Oleh: Harun Jaafar


Ketika Fairuz hendak disiasat oleh SPRM dulu, para pemimpin UMNO terloncat-loncat kegembiraan macam kera kena belacan.

Kegembiraan itu dikongsi oleh bos SPRM yang mendakwa bukti untuk mendakwa Fairuz telah jelas, nyata, dan kukuh. Fairuz meletakkan jawatan sebagai TKM 1 Pulau Pinang bagi membersihkan dirinya, memberi tumpuan kepada keluarga, dan menyambung pelajaran. UMNO dan SPRM terkedu. Tetapi bersungut alasan yang diberikan itu remeh-temeh.

Akhirnya PM Bangsawan membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK Penanti. Dia mengemukakan tiga alasan, iaitu:

1. Kekosongan kerusi itu bukan diperuntukan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya;

2. PRK ini satu permainan politik pembangkang; dan

3. BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.

Benarkah begitu?

Tidak lama kemudian, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tiada bukti kukuh untuk mendakwa Fairuz. Ramai orang berpendapat taktik ini digunakan untuk menjerat Fairuz supaya menarik balik peletakan jawatannya. Sebagai seorang yang berpegang pada prinsip, dia tetap dengan pendirian asalnya. Syabas Fairuz.

Dengan demikian, Najib terperangkap dengan komen awalnya yang enggan bertanding kerana beranggapan akan membuang masa dan wang rakyat. Dr. M sendiri mengeluarkan kenyatan yang berbelah bagi, sekejap suruh bertanding, sekejap serah kepada parti buat keputusan. Keputusan tidak dibuat. Serah kepada Biro Politik UMNO. Keputusan tidak dibuat. Serah kepada Majlis Tertinggi BN. Keputusannya tidak bertanding.

Sebab pertama yang dinyatakan Najib tidak masuk akal kerana merekalah yang beria-ia suruh ADUN PR yang bermasalah letak jawatan dan cari jalan untuk menjatuhkannya.

Sebab kedua lebih melucukan. Sesudah mencabar, mereka pula yang berdalih.

Sebab ketiga hanyalah bertaraf "masuk bakul angkat sendiri".

Kita perlu ingat bahawa Najib bersumpah di sebuah masjid di Penanti bahawa dia tidak mengenali Altantuya. Kini, dia diserang oleh pelbagai media antarabangsa yang menuduhnya terlibat dalam kes pembunuhan warganegara Mongolia itu. Isu ini akan terus dimainkan di Penanti. UMNO tidak akan berdaya menangkisnya.

Semasa PRK Parlimen Permatang Pauh yang lalu, UMNO telah berjanji akan menghulurkan bantuan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Janji itu tidak ditunaikan. Isu ini memerangkap UMNO dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu. UMNO kalah dalam kedua-dua PRK itu.

Mungkin juga janji itu belum ditunaikan hingga kini atau terdapat pelbagai janji lain lagi yang mereka tidak tunaikan di Penanti. Isu-isu ini akan menjatuhkan kewibawaan UMNO di mata pengundi. Mereka pasti kalah.

Isu rampasan kuasa di Perak yang berjela-jela itu telah menyedarkan rakyat tentang UMNO yang gila kuasa. Sesudah mahkamah membuat keputusan Nizar ialah MB Perak yang sah, mereka kemukakan rayuan. Kini, rayuan Zambry untuk menggantung keputusan mahkamah itu akan didengar pada hari yang sama dengan rayuan balas Nizar terhadap rayuan Zambry itu, iaitu 21 Mei 2009. Ada kemungkinan Zambry akan dimenangkan. Rasa tidak puas hati rakyat terhadap UMNO semakin melebar. Mereka tidak mungkin menang di Penanti.

Hal itu tidak mustahil berlaku. UMNO akan menggunakan apa-apa jua cara untuk mengekalkan kuasa. Jika hal ini benar-benar berlaku, sebab ketiga yang diberikan Najib itu hanyalah retorik seorang pemimpin yang penipu.

Tiada ulasan: