BERITA HARIAN ONLINE
KOTA BHARU: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) semalam, membatalkan surat panggilan pertama yang dikeluarkan beberapa hari lalu kepada 10,800 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kumpulan tiga siri 2009 yang bermula 16 Jun depan, kerana kesilapan teknikal.
Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata masalah teknikal itu membabitkan kesilapan cetakkan nama walaupun alamatnya betul, hanya membabitkan pelatih dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Berikutan itu katanya, semua pelatih daripada tiga negeri terbabit diminta menunggu surat panggilan baru yang akan dikeluarkan JLKN hari ini dan mereka dijangka menerimanya dalam tiga hari.
"Bagi pihak JLKN, saya ingin memohon maaf kepada pelatih dan keluarga mereka mengenai kesilapan teknikal yang kali pertama berlaku sejak dilaksanakan enam tahun lalu.
"Surat panggilan pertama itu dibatalkan dan pelatih perlu menunggu panggilan baru yang akan dikeluarkan esok (hari ini)," katanya selepas menziarah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini, semalam.
Abdul Hadi berkata, kesilapan teknikal surat panggilan itu sudah dilaporkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Setiausahanya, Datuk Abu Bakar Abdullah dan JLKN diarah mengambil tindakan segera menanganinya.
"Apa yang penting ialah pelatih terbabit tahu mereka dipanggil untuk menyertai PLKN kumpulan tiga itu kerana nama masing-masing sudah disiarkan dalam akhbar tahun lalu.
"Selain menunggu panggilan baru, mereka juga boleh menyemak melalui laman web JLKN atau SMS mulai esok," katanya.
Mengenai perkembangan pelbagai wabak penyakit sejak kebelakangan ini, Abdul Hadi berkata, beliau mengarahkan komandan semua kem PLKN seluruh negara sentiasa peka mengenai penularan virus Influenza A (H1N1), meningitis atau radang selaput otak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan