UTUSAN ONLINE
IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim mencampuri urusan DUN apabila mengeluarkan arahan melarang media membuat liputan persidangan DUN Perak pada 7 Mei ini.
Beliau berkata, Abdul Rahman tidak berhak mengeluarkan arahan tersebut kerana perjalanan persidangan DUN berada di bawah bidang kuasanya sebagai Speaker DUN.
''SUK tidak berunding dengan saya berkaitan hal ini. Beliau membuat keputusan sendiri secara sewenang-wenangnya.
''Saya memberi amaran kepada beliau supaya tidak campur tangan dalam urusan DUN. Saya berharap beliau sebagai penjawat awam akan berpegang kepada prinsip berkecuali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sivakumar, larangan terhadap media membuat liputan adalah tidak wajar kerana media hanya menjalankan tugas melaporkan berita kepada rakyat bukannya menimbulkan kekecohan dalam dewan.
''Rakyat berhak mengetahui apakah sebenarnya berlaku dalam persidangan hari itu. Rakyat tidak boleh diperdayakan dengan berita 'satu pihak' dengan hanya membenarkan media yang menyokong kerajaan membuat liputan.
''Tindakan SUK jelas menunjukkan satu lagi usaha mengancam demokrasi negara. Tindakan beliau adalah bertentangan dengan amalan kebebasan media," katanya.
Sehubungan itu, kata Sivakumar, beliau akan berjumpa dengan Abdul Rahman secepat mungkin untuk mendapatkan penjelasan berkaitan isu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan