HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Julai 2009

Lim tak yakin MIC beri RM3.2j beli tanah

MALAYSIA KINI


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak yakin MIC akan memberikan wang sejumlah RM3.2 juta untuk penduduk Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor membeli semula tanah itu seperti dinyatakannya semalam.

Walaupun MIC mempunyai wang, namun beliau meragui keikhlasan parti itu untuk berbuat demikian.

Lim berkata ini berdasarkan pengalaman parti itu yang didakwanya gagal menangani masalah pemberian saham anak syarikat MIC, MAIKA Holdings kepada ahlinya, lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Antarabangsa Pulau Pinang 2009, beliau berkata, MIC harus membuktikan niatnya itu terlebih dahulu dengan menyerahkan wang berkenaan kepada kerajaan negeri dan bukan hanya bercakap kosong.

"Dia (MIC) ada wang, tapi saya tidak yakin dia boleh bagi wang itu," katanya.

Katanya, MIC dan parti komponen BN yang lain harus bertanggungjawab terhadap masalah yang timbul di Kampung Buah Pala kerana ia berpunca daripada mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berkata kerajaan negeri menolak memorandum yang diserahkan oleh Pemuda MIC berhubung isu Kampung Buah Pala semalam berikutan tindakan mereka menyerang pembantu khasnya, M Sattees.

Katanya tindakan ganas Pemuda MIC semalam tidak dapat diterima dan dianggap keterlaluan kerana tidak menggunakan saluran yang betul.

"Kalau ada perkara tidak betul atau kenyataan oleh pembantu saya kepada mereka, kenapa tidak gunakan saluran yang betul dengan melaporkan kepada kami supaya siasatan serta perbincangan dapat dilakukan. Mengapa mahu menggunakan kekerasan?" soalnya.

Atas tindakan itu, katanya, kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak melayani memorandum mereka itu.

Semalam, Sattees, 24, ditumbuk seorang penyokong MIC setelah beliau dipercayai mencabar kumpulan itu selepas mereka menyerahkan memorandum berhubung isu Kampung Buah Pala kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Weik Aik di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Tiada ulasan: