Oleh Johari Ibrahim, Wan Faizal Ismayatim dan S Anand Kumar
PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, berkata laporan kematian mengejut (SDR) Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock difailkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam untuk memohon tarikh sebutan inkues.
"Kita mengemukakannya ke mahkamah untuk mendapatkan tarikh (inkues)," katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata laporan siasatan terperinci Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengetahui punca sebenar kematian, Teoh akan disiapkan sepenuhnya, minggu depan.
Beliau berkata, polis menyiasat kes itu daripada pelbagai sudut secara profesional termasuk merakam kenyataan daripada beberapa individu bagi membantu siasatan.
"Saya difahamkan dalam tempoh seminggu lagi, polis akan selesai siasatan mereka. Ketika ini polis masih meneruskan siasatan bagi mengetahui punca kematian Teoh.
"Pada masa yang sama, kita semua mengetahui bahawa satu inkues yang diketuai seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian mendiang," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Kabinet semalam bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi ketika mendiang Teoh disoal siasat, minggu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pada masa sama, satu inkues yang diketuai seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian Teoh.
Najib juga mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta polis menyelesaikan segera siasatan kes berkenaan dan laporannya akan diumumkan.
Perdana Menteri menegaskan tiga keputusan itu dibuat kerana Kabinet mahu penyiasatan kematian mendiang Teoh dilakukan dengan menyeluruh bagi mencari punca kejadian.
Teoh, 30, yang juga Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor Tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam, 16 Julai lalu, selepas memberi keterangan sebagai saksi dalam kes penyalahgunaan peruntukan wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor.
Di KOTA BHARU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memberi jaminan siasatan berhubung kematian Teoh, akan diselesaikan segera sebelum inkues.
"Sementara siasatan itu disiapkan, saya mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat andaian sendiri dan menggembar-gemburkan kes berkenaan sehingga hasil siasatan diumumkan pihak berwajib.
"Akan cepat diselesaikan (siasatan), saya tak boleh beritahu (siasatan disiapkan) hari ini atau esok, tak bolehlah secara spesifik. Tak lama lagilah.... Insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, di sini, semalam.
Mengenai keputusan Kabinet kelmarin yang memutuskan satu inkues diketuai seorang majistret bagi menentukan punca kematian Teoh, Musa menyambut baik langkah itu dan menyifatkannya bukti ketelusan kerajaan dalam menyelesaikan kes berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan