HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Julai 2009

Prosedur siasatan jenayah diperkasa

Oleh Wan Faizal Ismayatim


KOTA BHARU: Polis akan mencari jalan memantapkan prosedur siasatan jenayah bagi mengelak kes yang dibawa ke mahkamah dibuang begitu saja akibat kecacatan dalam penyiasatan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Serentak itu, beliau berkata, pegawai penyiasat perlu tentukan kualiti penyiasatan dimantapkan dan boleh dibuat dengan mengkaji kes yang diputuskan mahkamah, misalnya berkaitan cara pengumpulan keterangan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memantapkan lagi Unit Forensik dalam siasatan jenayah kerana ia akan membantu penyiasatan dan mengenal pasti mereka yang terbabit dengan kegiatan jenayah.

"Bantuan forensik dapat memberikan keterangan bagaimana pembabitan seseorang suspek dalam sesuatu kes dan dengan adanya siasatan forensik, akan menguatkan lagi keterangan dan siasatan polis terhadap sesuatu kes yang dilaporkan

"Saya baca di akhbar, ada kes dibuang oleh mahkamah kerana siasatan tak dijalankan dengan betul dan ia memalukan kita kerana bukan saja membabitkan pegawai penyiasat, tetapi pegawai penyiasat kanan dan ketua bahagian siasatan jenayah kerana mereka memantau siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi.

Sementara itu, Musa mengarahkan semua perkembangan siasatan sebarang kes dilaporkan kepada polis, dimaklumkan kepada pengadu dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, langkah itu selaras hasrat meningkatkan integriti pegawai dan anggota polis ekoran wujud andaian dan aduan daripada orang ramai kononnya polis tidak menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat mereka kerana tidak dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan.

"Kadang-kala banyak orang mengadu tidak dimaklumkan perkembangan siasatan. Jadi orang awam ingat siasatan tak dibuat, mereka ingat polis dah pakat dengan penjenayah.

"Ini penting, apa kita buat kena maklumkan kepada pelapor supaya dia tahu perkembangan berlaku, mereka hendakkan keadilan, jadi kita perlu bertindak untuk menentukan keadilan tercapai bagi pihak yang mengadu kerana dia mangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada kegiatan sindiket penyeludupan manusia menggunakan pintu sempadan di utara negara yang sebelum ini didalangi kakitangan Jabatan Imigresen, turut membabitkan kakitangan agensi penguat kuasa lain.

Beliau berkata, polis juga sedang mengenal pasti kelemahan prosedur penghantaran pulang pendatang tanpa izin di negara ini.

Tiada ulasan: