BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan 15,200 pekerja yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan ketika menjalankan tugas di seluruh negara bagi sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Selvarajah, berkata selain itu pihaknya menerima 3,800 tuntutan membabitkan kemalangan kenderaan lain termasuk lori dan kereta dalam tempoh sama.
“Secara keseluruhannya kita menerima 40,916 tuntutan di bawah Skim Insuran Bencana Pekerjaan membabitkan pelbagai kemalangan di tempat kerja atau ketika dalam perjalanan pergi serta pulang kerja.
“Menyedari kemalangan membabitkan pekerja menunggang motosikal tinggi, kita mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran kumpulan ini melalui pelbagai program serta kempen termasuk dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR),” katanya selepas majlis perasmian Program Ikhtiar Hidup Penunggang Motosikal di Menara Perkeso di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh, berkata program berkenaan diadakan untuk mendedahkan penunggang motosikal kepada pelbagai jenis kemungkinan bahaya di jalan raya dan mengajar mereka cara untuk bertindak.
“Kita akan mengadakan lebih banyak program seperti ini bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mengendalikan motosikal supaya penunggang dan pembonceng lebih bersedia di jalan raya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan