HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Disember 2009

Amat Memalukan, Orang Kampung Sudah Menjadi Perdana Menteri Malaysia Tetapi Rakyat Pekan Masih Derita Masalah Bekalan Air !

PAHANG DAILY


PEKAN - Warga Pahang sungguh terkejut bila membaca satu keratan suara rakyat yang dihantar oleh seorang penduduk Kg.Ganchong Pekan ke ruangan "surat pembaca" Utusan Malaysia hari ini.

Antara lain, pengirim yang hanya mahu dikenali sebagai "Cucu Tok Gajah" itu telah meluahkan rasa kecewa beliau kerana biarpun Pekan cukup terkenal sekarang kerana mempunyai seorang pemimpin yang telah bergelar Perdana Menteri, namun masalah ketiadaan air terus melanda kampung beliau dan kawasan sekitarnya sejak bertahun-tahun lamanya.

Menurut pengirim, masalah itu yang sudah dialami sejak sekian lama kini bolehlah dianggap perkara biasa bagi para penduduk disitu. Namun beliau hampa dan merasa terhina kerana Ahli Parlimen Pekan, Dato' Najib Razak kini sudah bergelar pemimpin nombor satu negara. Namun, masalah tersebut terus berlarutan hingga ke hari ini.

"Perkara ini telah menyusahkan para penduduk, bukan sahaja setiap kali musim perayaan malahan pada hari-hari biasa" katanya.

"Air hanya keluar ke tangki dalam rumah menjelang tengah malam, dan kembali berhenti menjelang subuh. Pada waktu siang pun, kalau ada air pula ia hanya keluar sekejap-sekejap dan tekanannya tidak kuat untuk masuk ke tangki simpanan" tambah beliau lagi.

Perkara ini telah dilaporkan kepada pihak akhbar dan jabatan yang berkenaan, namun tiada penjelasan memuaskan telah diberikan. Malah beliau juga berharap dengan pendedahan terbaru ini maka adalah pihak tertentu yang akan mengambil tindakan secara proaktif dan responsif isu ini.

"Kami juga tidak mahu lagi mendengar jawapan klise yang menyalahkan paip bekalan, kepadatan penduduk, loji kecil dan sebagainya. Ini kerana perkara tersebut sudah diketahui pihak terbabit sejak sekian lama dan langkah perlu sepatutnya sudah diambil oleh mereka. Apakah kita tidak malu, orang kampung kita sudah menjadi Perdana Menteri tetapi orang kampung Perdana Menteri itu masih tidak berair" katanya.

[Kami tidak terkejut dengan apa yang didedahkan ini sebenarnya. Memang rakyat Pahang terutamanya yang mendiami kawasan penempatan Felda sering berhadapan dengan masalah ketiadaan air sejak lebih 30 tahun lalu.

Bayangkan, hingga ke hari ini sudah dua orang Perdana Menteri yang berasal dari Pahang namun masalahnya tetap sama dan tidak berubah. Apakah ia tidak langsung disedari oleh pemimpin terbabit, atau ada pihak yang sengaja mahu merahsiakan perkara ini.

Dalam keadaaan bil air yang melambung gara-gara subsidi kerajaan, dan jabatan bekalan air Pahang yang akan diswastakan menjelang tahun hadapan. Apakah senario sebegini harus dibiarkan berlaku dengan sewenang-wenangnya?.

Kerajaan Negeri Pahang, mendabik dada kononnya akan mendapat untung daripada hasil penjualan air mentah yang akan disalurkan ke negeri Selangor tidak lama lagi. Namun, sedarkah mereka bahawa rakyat Pahang kini terpaksa berhadapan dengan kemelut air ini. Rakyat Pahang perlu berani membuat perubahan jika mereka tidak mahu terus dipermainkan oleh pemimpin yang "cakap tak serupa bikin" ini].

Tiada ulasan: