BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Tindakan dua samseng jalanan merempuh sekatan jalan raya di Dataran Merdeka di sini, awal pagi semalam, menyebabkan seorang anggota polis yang melakukan operasi tercampak ke bahu jalan dan cedera tangan kirinya.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kedua-dua remaja berusia 18 tahun terbabit dipercayai panik sebaik melihat sekatan polis di kawasan yang dikenal pasti antara litar lumba haram popular di ibu negara.
Berikutan itu, pemuda terbabit memecut motosikal mereka untuk melarikan diri sebelum merempuh anggota polis yang cuba menahan mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bandaraya, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang yang mengetuai operasi itu, berkata anggota berkenaan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng yang melarikan diri selepas perlanggaran itu berjaya diberkas polis di Brickfields tidak lama kemudian.
Katanya, siasatan awal mendapati dua remaja itu tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan sudah tamat tempoh.
“Hasil soal siasat mendapati mereka berasal dari Negeri Sembilan dan datang ke sini semata-mata untuk ‘merempit'.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua remaja itu boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan,” katanya
Dalam operasi yang berakhir jam 3 pagi itu, 400 kenderaan diperiksa dan 90 saman dikeluarkan.
Enam daripada 80 penunggang dan pembonceng yang menjalani ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan