BERIA HARIAN ONLINE
ALOR SETAR: Isteri seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini, semalam membuat laporan polis selepas menerima bungkusan misteri daripada seorang lelaki di kediaman rasminya di Jalan Tunku Bendahara, di sini.
Bungkusan kotak putih itu diterima seorang ahli keluarga hakim berkenaan daripada seorang lelaki yang menghantarnya di kediaman itu pada kira-kira jam 2 petang kelmarin.
Ketika bungkusan itu dihantar, hakim berkenaan dan isteri tiada di rumah.
Sumber berkata, kotak berkenaan yang tidak mempunyai alamat pengirim diserahkan anggota keluarganya kepada isteri hakim berkenaan pada kira-kira jam 8 pagi semalam.
Katanya, hakim berkenaan yang curiga akan kandungan kotak berkenaan mengarahkan isterinya membuat laporan polis kerana pengirimnya tidak dikenali.
Berikutan itu, polis mengerahkan anggota Unit Pemusnah Bom mengesan kandungan kotak itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abd Ghafar Rajab ketika dihubungi semalam, mengesahkan polis menerima aduan kes itu tetapi enggan mengulas lanjut.
“Polis melakukan pemeriksaan ke atas bungkusan itu atas tujuan keselamatan kerana bungkusan itu tiada alamat pengirim.
“Bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan dan polis sedang mengumpul maklumat untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sementara itu tinjauan Berita Harian di kediaman itu pagi semalam mendapati, beberapa anggota polis dari Unit Pemusnah Bom memasuki kediaman hakim berkenaan pada kira-kira jam 10 pagi untuk tujuan siasatan dan keluar kira-kira dua jam kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan