UTUSAN ONLINE
IPOH - Orang awam yang terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan oleh penjenayah dalam operasi membanteras kegiatan tersebut hanya akan dibayar 'ganti rugi' sekiranya ia membabitkan kecuaian polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Azisman Alias berkata, tiada peruntukan disediakan untuk sebarang kemalangan yang di luar pengetahuan pihak berkuasa walaupun ia dikaitkan dengan operasi mencegah jenayah.
''Apa yang berlaku ke atas orang awam dalam kejadian kemalangan itu adalah di luar penglihatan polis.
''Usaha kita sekarang ialah membantu siasatan dengan cepat serta mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah,'' katanya.
Beliau mengulas gesaan Setiausaha MIC Perak, Datuk R. Ganesan supaya pihak polis membantu dua beranak yang cedera parah dan kini terlantar di hospital selepas dilanggar penjenayah di Jalan Chemur dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, seorang ibu, S. Kogilawani, 34, bersama dua anaknya, G. Shagina, 10, dan G. Danesh Kumar, 14, yang menunggang motosikal menuju ke rumah mereka di Taman Mas, Ulu Chepor, dekat sini, telah dilanggar sebuah kereta Proton Waja dipercayai dipandu oleh seorang penjenayah.
Ketika kejadian, kereta penjenayah terbabit dikatakan cuba melarikan diri daripada sebuah kereta peronda polis.
Rempuhan itu menyebabkan Kogilawani dan Shagina cedera parah manakala Danesh Kumar yang cedera di kepala, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, dua hari selepas kejadian.
Menurut Azisman, penjenayah terbabit telah berjaya ditahan dan siasatan lanjut terhadapnya sedang dilakukan.
''Suspek dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan kerana membawa kenderaan secara bahaya dan menyebabkan kematian,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan