Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
KUALA TERENGGANU - Apa sudah jadi dengan Bukit Pak Apil di Jalan Cherung Lanjut di sini? Persoalan ini timbul berikutan sebahagian besar puncak bukit itu sekarang sudah ditarah dan diratakan sehinggakan dilaporkan mengalami kesan kemusnahan ekologi selepas dihimpit pembangunan.
Utusan Malaysia difahamkan kawasan puncak Bukit Pak Apil kini dibangunkan dengan projek Taman Panorama yang dikatakan bakal menjadi satu daripada destinasi baru tarikan pengunjung ke Kuala Terengganu.
Dengan pembangunan itu, sekali gus landskap bukit yang sebelum ini dipenuhi hutan dara, berubah secara drastik iaitu kawasan bergondol.
Difahamkan juga pembinaan Taman Panorama yang menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi itu dianggarkan menelan kos RM7.5juta dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan 2011.
Turut dirancang dibina di situ adalah sebuah kafe yang dikenali sebagai Panorama Kafe yang mampu memuatkan 200 pengunjung yang menempatkan menara tinjau, laluan pejalan kaki dan sebagainya.
Projek pembangunan Taman Panorama itu dirancang pembinaan semasa pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (2004-2008).
Bagaimanapun di sebalik keghairahan projek pembangunan itu dilaksanakan, kesannya kini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah mengakibatkan kejadian tanah runtuh sehinggakan sebahagian longkang di pinggir bukit dipenuhi pasir dan lumpur.
Dalam kejadian terbaru, sebuah surau dan 20 kediaman membabitkan Taman Terengganu, Taman Hock Kee Seng dan Wisma Ali Long dilanda banjir lumpur baru-baru ini dipercayai akibat pembinaan projek tersebut.
Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Toh Chin Yaw menggesa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu agar memantau pembinaan projek berkenaan supaya kejadian tanah runtuh tidak berulang.
Berikutan kejadian itu, katanya, kontraktor yang terbabit dalam pembinaan sudah membina penghadang tanah bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Beberapa penduduk setempat ketika ditemui kesal kerana kawasan tapak projek tersebut yang diluluskan kerajaan negeri kini menghadapi impak alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cherung Lanjut, Yeo Sin Soon, 52, berkata, projek pembangunan taman tersebut kini masih rancak dijalankan.
Katanya, akibat pembinaan tanpa dirancang banjir lumpur mudah berlaku selain dibimbangi berlaku tanah runtuh.
Seorang penduduk Muhamad Ali Kamaruddin, 40, pula kesal kerana puncak bukit yang dulunya terpelihara kini ditarah menjadi gondol.
"Saya tidak menentang projek tersebut tetapi kesal kerana banyak pokok ditebang," katanya.
Seorang lagi penduduk Fauziah Isa, 38, berkata, sebahagian pemandangan Bukit Pak Apil, yang dulunya tidak tercemar kini mengalami kecacatan kerana ditarah untuk pembangunan.
Katanya, sepatutnya projek itu dibangunkan di kawasan lain dan biarkan Bukit Pak Apil dalam keadaan sedia kala.
''Bukit Pak Apil yang berdiri megah di tengah bandar raya ini harus dikekalkan dengan identiti asal tetapi kini ibarat 'nasi sudah jadi bubur'.
''Puncak bukit sudah rosak, kami bukan menolak pembangunan tetapi biarlah ia dilakukan dengan mengambil kira penjagaan alam sekitar,'' kata rakannya, Seman Salleh, 50.
Yang lebih mengecewakan, katanya, penduduk di situ sudah menerima kesan yang bukan sedikit kerana semasa projek dilaksanakan banjir lumpur melanda kawasan sekitar.
''Penduduk kecewa kerana dulu mereka mungkin menikmati kehijauan alam dan pokok tetapi sekarang bakal dipenuhi batu bata," katanya.
Sementara itu, Ahmad Ismail, 30, pula berkata, projek pembangunan itu menjadikan pemandangan Bukit Pak Apil sudah tidak asli lagi.
Katanya, keadaannya cukup indah kerana dipenuhi hutan kini berubah menjadi gondol.
''Saya bagaikan tidak percaya apabila melihat ada pula projek pembangunan di sini,'' katanya.
Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting dalam pelaksanaan sesuatu projek kepentingan alam sekitar seharusnya dijaga.
''Saya lihat banyak pokok ditebang, dulu menghijau tetapi kini tidak lagi.
''Saya terkilan bagaimana kerajaan negeri meluluskan projek di situ, tidak adakah kawasan lain lebih baik daripada tapak yang ada sekarang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan