SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Langkah Kementerian Pelajaran menaikkan yuran makan bagi pelajar asrama daripada RM1 kepada RM3 sehari mulai tahun depan merupakan antara strategi untuk mengurangkan bajet bagi tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan Tan Sri Zulkurnain Awang.
“Melalui cara ini kita dapat mengurangkan perbelanjaan memandangkan peruntukan bajet dalam bidang pendidikan dikurangkan tahun depan.
“Bahkan banyak lagi perkara lain yang boleh diteliti untuk dikurangkan di masa depan seperti berjimat pada benda-benda yang tidak memberi kesan tinggi dalam bidang pendidikan,” katanya kepada Bernama.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pendidikan Lepasan Sekolah di sini, semalam, beliau berkata, pengurangan bajet ini juga tidak akan menjejaskan keseluruhan kualiti dan perkhidmatan oleh kementerian dalam bidang pendidikan.
"Kenaikan yuran sebanyak 200 peratus itu hanya melibatkan penjaga dan ibu bapa yang berpendapatan RM5,000 ke atas, justeru langkah penjimatan ini tidak akan membebankan," katanya.
Zulkurnain terdahulu merasmikan pameran pendidikan terbesar akhir tahun di mana 300 gerai pameran dibuka bertujuan memberi informasi berkenaan institusi pengajian tinggi dalam negara.
Antara IPT yang mengambil bahagian, Berjaya University, SEGi College dan Universiti Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan