UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sebaliknya menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, adalah lebih baik menyerahkan siasatan skandal PKFZ itu kepada pihak yang berkenaan untuk menyelesaikannya.
Menurutnya, beliau tidak mengetahui tentang kes itu secara terperinci.
''Saya tidak tahu, mengapa saya perlu ke mahkamah,'' kata Abdullah ketika ditanya sama ada beliau bersedia ke mahkamah memandangkan skandal PKFZ berlaku sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Beliau menegaskan demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kerja Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2010 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang IKIM 2008 di sini hari ini.
Semalam, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka Oi Choo Phang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Klang atas tuduhan pecah amanah dalam skandal PKFZ.
Selain itu, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Stephen Abok, 51, iaitu syarikat pemaju projek tersebut dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, dari syarikat perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu.
Sementara itu, ditanya mengenai isu peruntukan kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan bukan Islam yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, Abdullah berkata, ia dibuat setelah dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.
''Peruntukan itu bukan diberi tanpa pertimbangan. Peruntukan adakalanya kecil dan kadangkala jumlahnya lebih besar,'' jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan