HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 November 2010

Insuran Kesihatan RM120 kepada pekerja asing tidak munasabah

SELANGOR KINI

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan mengenakan bayaran insuran kesihatan berjumlah RM120.00 kepada pekerja asing di negara ini adalah tidak munasabah.

Ini kerana menurut Syed Shahir Syed Mohamad, kebajikan pekerja luar yang diambil berkhidmat di negara ini adalah tanggungjawab kerajaan pusat.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), ditemubual Tv Selangor berkata, yuran yang diperkenalkan ini akan memberi implikasi besar kepada majikan dan pekerja itu sendiri justeru akan memperlihatkan perlakuan tidak adil kerajaan pusat terhadap rakyat tempatan dan luar.

“Mereka ini datang untuk mencari rezeki, jadi kita jangan bebankan mereka dengan bermacam-macam pembayaran. Kadang-kadang walaupun levi di bawah tanggungan majikan, tapi biasanya mereka akan tekan mereka ini. Sudah gaji dia rendah, kita tekan dia lagi. Saya rasa ini tidak manusiawi. Tidak adil,” ujar beliau.

Pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mewajibkan majikan membayar insuran kesihatan berjumlah RM120.00 untuk memperbaharui permit pekerja luar bermula 1 Januari tahun hadapan.

Menurutnya, tindakan tersebut memastikan kerajaan dapat mengurangkan tunggakkan bayaran bil hospital yang mencecah RM18 juta justeru memacu enam projek pemulaan (EPP) dalam penjagaan segmen kesihatan di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Syed Shahir juga menyifatkan jumlah tunggakkan RM18 juta yang diumumkan kerajaan hanya akan menggerakkan peratusan kecil penjanaan ekonomi negara justeru beliau memberi amaran jangan ada unsur-unsur yang memperlihatkan penindasan terhadap pekerja luar di negara ini.

Tambahannya lagi, perlu ada pembahagian pembayaran jelas antara majikan dan pekerja luar agar mereka tidak dikenakan potongan gaji akibat majikan terpaksa membayar yuran kesihatan itu.

Selain itu, Syed berkata jika kerajaan pusat menguruskan perbelanjaan negara dengan betul, maka tidak wujud keluhan bayaran tertunggak hospital tempatan.

“Ertinya kalau kita berbelanja dengan betul tidak ada pembaziran dan ketirisan, ini tidak menjadi hal yang besar. Bukannya kita berbelanja sampai RM18 bilion atau RM1.8 bilion. Ini cuma RM18 juta sahaja dan ini tanggungjawab pemerintah, mereka kena selesaikan. Jangan guna ini untuk naikkan satu lagi.

“Masalahnya walaupun majikan yang bayar, tapi implikasinya akan balik kepada pekerja itu. Memang majikan bayar tetapi dia akan potong gaji pekerja,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut berpendapat bayaran perlindungan insuran kesihatan pekerja luar adalah tinggi.

Memetik laporan akhbar Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata kerajaan akan memperoleh RM240 juta setahun sekiranya berjaya mengutip bayaran insuran kesihatan 2 juta pekerja luar yang berdaftar di negara ini.

Sebagai rekod mana-mana pekerja asing yang mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan di negara ini dikenakan bayaran penuh.

Tiada ulasan: