KUCHING — Ada kemungkinan besar mereka yang menjadi anggota bersekutu dan anggota gabungan secara terus Barisan Nasional (BN) berpeluang menjadi calon parti itu pada pilihan raya akan datang, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Michael Manyin hari ini.
Beliau berkata keputusan Dewan Tertinggi BN meminda perlembagaan parti itu untuk memperkenalkan keanggotaan secara terus berkuat kuasa serta-merta, memang baik untuk BN kerana banyak orang yang belum menganggotai mana-mana parti politik, terutama golongan muda, ingin menjadi anggota parti itu.
“Terserahlah kepada BN untuk membuat keputusan tentang kemungkinan membenarkan mereka yang tidak menjadi anggotanya, tetapi berminat bertanding serta disukai ramai dan popular di kawasan mereka, untuk bertanding,” kata Manyin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak kepada pemberita di sini.
Manyin adalah antara empat pemimpin parti komponen BN Sarawak yang menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur Sabtu lepas apabila keputusan tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
BN dijangka meminda perlembagaannya pada konvensyen akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 4-5 Dis tahun ini.
Bagi Sarawak, kata beliau, isu itu perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh BN negeri yang telah memperuntukkan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri kepada PBB, 19 kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta masing-masing Sembilan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bagi pilihan raya negeri akan datang, yang perlu diadakan menjelang Julai tahun depan.
Mengulas isu yang sama semalam, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pelagus yang tidak berparti Larry Sng, perlu memohon menjadi anggota bersekutu BN sekiranya beliau ingin kekal dalam BN.
Manyin berkata kes serupa pernah wujud di Sarawak apabila Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit diletakkan sebagai calon BN bagi kawasan Parlimen Mambong pada 1999.
Dawos, yang diberi pilihan memohon menjadi anggota mana-mana daripada empat parti komponen BN kemudian mengambil keputusan menyertai PBB, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan