HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2010

Parlimen tolak usul polis tembak mati tiga termasuk remaja

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat menolak usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa bagi membahaskan insiden polis menembak mati tiga lelaki termasuk remaja di Glenmarie, Shah Alam, 13 November lalu.

Menurut Sivarasa, usul yang dikemukakan semalam telah ditolak di kamar oleh Speaker Dewan Rakyat atas alasan tidak memenuhi kriteria spesifik, perlu disegerakan dan menyentuh kepentingan awam.

Ketika bercakap pada sidang media kemudian, Sivarasa berkata, beliau telah dinasihatkan oleh Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar membangkitkan perkara itu ketika perbahasan peringkat perbahasan Kementerian Dalam Negeri.

Dalam notis usulnya, Sivarasa menekankan bahawa insiden itu mempunyai kepentingan awam memandangkan ia satu lagi kejadian melibatkan orang awam yang ditembak oleh polis.

“Jika tiada tindakan efektif diambil dalam kes-kes macam ini, rakyat akan hilang keyakinan terhadap pasukan polis.

“Saya percaya bahawa usul ini melibatkan perkara yang khusus, perlu disegerakan dan membabitkan kepentingan awam,” kata beliau dalam notisnya.

Menurut Sivarasa, beliau memfailkan usul itu memandangkan beliau diberikan laporan polis dibuat keluarga dua daripada tiga orang yang ditembak mati itu, sambil mendakwa mereka ditembak dari jarak dekat.

“Dakwaan yang dibuat sangat serius. Dalam kes Shamil, bukti menunjukkan tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada. Dan, dalam kedua-dua tembakan, peluru masuk dan keluar,” katanya.

Sivarasa berkata, kejadian itu bukan kes terpinggir tetapi antara siri kejadian tembakan oleh polis sejak kebelakangan ini.

Kejadian itu menunjukkan pihak polis ada kekebalan untuk melakukan apa sahaja, kata Sivarasa.

“Saya tidak menyalahkan setiap anggota polis, tetapi kita perlu membersihkan imej dan kerajaan perlu tegas dan efektif. Ini yang saya minta,” katanya.

Sivarasa yang juga naib presiden PKR mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan kejadian tiga orang, berusia antara 15 dan 22 tahun, ditembak mati polis di Glenmarie, Shah Alam awal pagi 13 November lalu.

Berdasarkan Perkara 18(1) Peraturan Mesyuarat, beliau berkata Dewan Rakyat wajar membincangkan kematian Mohd Shamil Hafiz Shapiei, 15, Hairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, demi kepentingan awam.

Sivarasa berkata kes terbaru ini berlaku selepas rakyat Malaysia melihat kematian Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak oleh polis di Jalan Mak Yong, Seksyen 11 Shah Alam awal pagi 26 April lalu.

Sabtu lalu, peguam keluarga juvana terbabit N. Surendran mendakwa polis cuba melakukan suatu pembohongan di sebalik insiden tersebut.

Menurut Surendran, keluarga dua mangsa terbabit memberitahunya bahawa terdapat dua kesan tembakan jarak dekat pada kawasan kepala dan dada.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum pada itu berkata, ketiga-tiga mereka terbunuh selepas melakukan rompakan di stesen minyak Jalan U1/1 sekitar jam 4.15 pagi.

Tiada ulasan: