HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 November 2010

Koperasi Felda perlu tambah dividen pada peneroka

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar mencadangkan Koperasi Felda (KPF) menambah dividen daripada 16.5 peratus kepada 30 atau 40 peratus kepada anggota keluarga peneroka Felda setiap tahun.

Kamarudin sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat hari ini berkata, keuntungan itu seharusnya dibahagikan kepada warga Felda daripada menggunakan dana secara boros untuk pembelian hartanah.

"Sebagaimana dijelaskan Timbalan Menteri KPF mampu memberi deviden sehingga ke tahap 16.5 peratus.

"Kita membaca laporan kos yang Felda keluarkan untuk pengeluaran minyak sawit dilakukan kajian dan dibandingkan dengan syarikat-syarikat ladang sawit yang lain khususnya dengan Sime Darby dan IOI Berhad.

"Dalam kajian tersebut menunjukkan perbandingan dengan Felda kos pengeluaran oleh IOI jauh beberapa kali ganda lebih rendah perkilo kawasan itu berbandingan dengan yang dibelanjakan oleh Felda," kata beliau.

Menurutnya juga, jika dibandingkan dengan Sime Darby, pengeluaran minyak sawit Felda masih rendah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bagaimanapun berkata, pembelian hartanah oleh Felda adalah tidak boros.

Sebaliknya beliau berkata, pembelian hartanah untuk pembinaan Menara Felda 50 tingkat di hadapan menara KLCC iaitu di kawasan tiga segi emas merupakan pembelian di kawasan strategik.

"Harganya semasa kita beli RM975 sekaki persegi, sekarang ini sudah menjadi RM1,400 hingga RM1,500 kaki persegi," katanya.

Beliau berkata, pembinaannya sudah siap sebanyak 70 peratus dan jika ianya dijual dengan harga pasaran sekarang, Felda akan mendapat keuntungan sebanyak RM300 juta.

Terdahulu, dalam soalan asal, ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd Sadique meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan bercadang menerbitkan saham amanah khusus untuk peneroka dan generasi kedua Felda bagi meningktkan penyertaan masyarakat Felda dalam bidang ekonomi selain saham koperasi Felda 2 yang telah dilancarkan.

Ahmad Maslan dalam jawapannya memberitahu, pada masa ini kerajaan belum bercadang untuk menerbitkan saham amanah berkenaan kerana berpendapat badan pelaburan peneroka iaitu KPF telah berjaya meningkatkan ekonomi warga peneroka melalui aktiviti pelaburan yang dijalankan.

Menurutnya, sehingga kini KPF mempunyai keahlian seramai 215,412 ahli dengan modal saham berjumlah RM1.56 ribu juta.

Sekarang ini, katanya KPF menguasai 51 peratus ekuiti dalam Syarikat Kumpulan Felda dengan pegangan pelaburan RM353 juta. KPF turut memiliki pelaburan hartanah sebanyak RM235 juta.

Di samping itu, ujarnya KPF turut memiliki pelaburan dalam 16 syarikat usahasama yang lain berjumlah RM423.16 juta.

KPF juga, katanya memiliki modal syer dalam Bank Rakyat berjumlah RM35.68 juta dan pelaburan dalam sekuriti pasaran berjumlah RM458.43 juta dan jumlah terkini keseluruhan pelaburan KPF ujarnya ialah RM2.001 ribu juta.

Tiada ulasan: