Sub-kontraktor akhirnya mengadu kepada Sultan Selangor setelah kerugian RM43 juta, apabila syarikat kontraktornya - yang dikuasai kerabat Sultan Selangor - dalam Projek Hospital Shah Alam menggunakan kedudukan dan kemudahannya untuk menuntut wang daripada sub-kontraktor tersebut.
Raja Petra Kamaruddin pernah mendedahkan surat yang berkaitan dengan skandal yang melibatkan anggota kerabat Sultan Selangor dalam laman Malaysia Today yang dikendalinya sebelum ini. Surat tersebut ditulis oleh sub-kontraktor Projek Hospital Shah Alam, iaitu GM Healthcare Sdn.Bhd kepada Sultan Selangor, mendedahkan bahawa Sunshine Fleet Sdn.Bhd yang dikuasai adinda Sultan, iaitu Tengku Arafiah terlibat dalam skandal rent-seeking.
Ketua Pegawai Eksekutif GM Healthcare Sdn.Bhd, Elvin Toh Chen Vin telah mengesahkan kepada MerdekaReview bahawa surat tersebut adalah benar. Menurut Elvin Toh, surat tersebut ditulis oleh GM Healthcare untuk mengisahkan kronologi peristiwa itu kepada Sultan.
Sebagaimana yang diketahui MerdekaReview, Sunshine Fleet yang dikuasai Tengku Arafiah bukan sahaja meminta agar GM Healthcare untuk melangsaikan hutang yang dilonggakkan sub-kontraktor sebelumnya, bahkan menuntut wang tunai dari GM Healthcare melalui pelbagai saluran. Berikutan daripada itu, GM Healthcare kerugian RM43.15 juta, kerana gagal menuntut balik wang yang dibelanjakan, malah kehilangan projek Hospital Shah Alam ini.
Kementerian Jabatan Kerja Raya kini telah membatalkan kedudukan Sunshine Fleet (yang dikuasai Tengku Arafiah) sebagai kontraktor utama projek Hospital Shah Alam, malah dibuka tender semula. Menurut laporan Star pada 3 Oktober, kerajaan telah membayar RM122.50 juta kepada Sunshine Fleet, namun projek ini hanya disiapkan setakat 25.3%.
Perjanjian antara bekas Sultan Selangor dengan Mahathir
Menurut sumber maklumat, penglibatan kerabat Sultan Selangor dalam projek Hospital Shah Alam ini disebabkan perjanjian antara bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dengan bekas Sultan Selangor. Sebagaimana yang dimaklumkan, Mahathir Mohamad mencadangkan projek ini antara tahun 2000 hingga 2001.
Perjanjian direstui oleh Mahathir (gambar kanan) dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada ketika itu adalah tanah diperuntukkan oleh Sultan Selangor, dengan syarat projek tersebut perlu diserahkan kepada anggota kerabat Sultan. Namun, projek ini ditangguhkan, malah tidak dilaksanakan sehingga Mahathir berundur dari jawatan PM. Ia hanya bermula pada zaman PM kelima, Abdullah Ahmad Badawi apabila JKR menyerah projek ini kepada Sunshine Fleet yang dikuasai kerabat Sultan Selangor pada 9 November 2007.
Menurut maklumat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiga orang pemegang saham utama Sunshine Fleet adalah adinda Sultan Selangor, Tengku Arafiah (70% saham), Azamuddin Shah Abdul Aziz (10% saham) dan Tengku Abdul Samad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz.
Tengku Arafiah bukan sahaja pemegang saham terbesar Sunshine Fleet, malah menyandang jawatan Pengerusi Eksekutif yang membuat keputusan untuk syarikat.
Rent-seeking
Mengapa GM Healthcare terlibat dalam skandal rent-seeking ini? Menurut Elvin Toh, syarikat ini pada asalnya mengusahakan perniagaan pemborongan perubatan yang diasaskan Chua Zhi Bin. Elvin Toh mengambil alih GM Health pada tahun 2007 dan memegang 50% saham masing-masing bersama Chua Zhi Bin.
Setelah Sunshine Fleet memperolehi projek bernilai RM482.60 juta dari JKR pada November 2009, maka GM Health diundang untuk menyertai pembidaan projek tersebut. Tetapi, akhirnya Tengku Arafiah (gambar kiri) menyerah keseluruhan projek ini kepada Isyoda Sdn.Bhd, dan bukannya GM Helathcare pada 16 November 2007. Menurut perjanjian antara Sunshine Fleet dengan Isyoda ketika itu, Sunshine Fleet "sub" projek ini kepada Isyoda dengan nilai RM451.321 juta, dan mengaut keuntungan RM31.369 juta daripadanya.
Pada hari yang sama, Isyoda mengeluarkan "Letter of Undertaking of Payment" kepada Tengku Arafiah, bersetuju untuk membayar RM46.231 juta kepada Tengku Arafiah. Kontrak yang diambil-alih Isyoda sebenarnya bernilai RM405 juta setelah ditolak angka tersebut.
Maka Tengku Arafiah dan Sunshine Fleet memperolehi keuntungan bersih RM77 juta daripadanya, iaitu RM31.369 juta daripada perbezaan nilai kontrak, dan RM46.231 juta yang diterima Tengku Arafiah.
Permintaan untuk "Selamatkan Projek Hospital"
Bagaimanapun, Isyoda terjerat ke dalam masalah kewangan kemudiannya. Tengku Arafiah meminta GM Healthcare untuk menyelamatkan projek hospital ini dengan mengambil-alihnya dari tangan Isyoda - supaya projek ini tidak ditarik balik JKR.
Kedua-dua pihak mencapai persetujuan dalam satu perjanjian sub-kontrak pada 10 Februari 2009, iaitu Sunshine Fleet melantik GM Healthcare sebagai sub-kontraktor kedua, dan mengambil-alih projek Hospital Shah Alam dari tangan Isyoda dengan RM400.9 juta.
Untuk mengambil alih projek ini, GM Healthcare dengan sengaja menstruktur semula organisasi dalam syarikatnya. GM Healthcare mengajak syarikat FRONTIER STRUCTURE Sdn.Bhd dari Pulau Pinang untuk bergabung dan mengendalikan projek ini bersama.
FRONTIER STRUCTURE Sdn Bhd adalah syarikat pembinaan yang mempunyai Gred 7 dan jaminan kualiti. Selepas penggabungan kedua-dua syarikat, GM Healthcare menjadi kontraktor bumiputera kelas A. Dalam rombakan ini, FRONTIER STRUCTURE Sdn Bhd dan GM Healthcare masing-masing memegang 50% saham. Dengan kata lain, saham yang dipegang oleh Elvin Toh Chen Vin dan Chua Zhi Bin sebelum ini telah menurun kepada 25% masing-masing.
Tuntutan wang berterusan
Elvin Toh berkata, menurut perjanjian antara Sunshine Fleet dengan GM Healthcare, nilai projek ketika diambil-alih GM Healthcare hanya tinggal kira-kira RM400.9 juta. Muafakat yang dicapai dalam perjanjian adalah GM Healthcare bersetuju untuk membayar Sunshine Fleet dengan harga 5% dari nilai projek, iaitu kira-kira RM20 juta, sebagai pulangan memperolehi projek tersebut. Wang ini pada asalnya dibayar kepada Sunshine Fleet secara berperingkat, mengikut perkembangan projek dan pembayaran wang dari JKR.
Namun, Sunshine Fleet telah habis menuntut RM20 juta itu dalam masa enam bulan, malah menuntut lebih wang dari GM Healthcare. Ia berakhir dengan pembayaran GM Healthcare kepada Sunshine Fleet melonjak dari RM20 juta (pada asalnya), kepada kira-kira RM35 juta.
Elvin Toh akhirnya enggan memberi apa-apa bayaran kepada Sunshine Fleet, dan tindakan ini telah mencetus perselisihan komersial antara GM Healthcare dengan Sunshine Fleet. Antaranya, GM Healthcare meminta JKR membatalkan kontrak Sunshine Fleet sebagai kontraktor utama, malah membawa kes ini ke mahkamah untuk mendapatkan perintah agar Sunshine Fleet di-"wind-up".
Sunshine Fleet akhirnya menamatkan kontrak GM Healthcare sebagai sub-kontraktor pada 11 Ogos 2010, dan JKR pula membatalkan kontrak Sunshine Fleet sebagai kontraktor utama pada 3 September 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan