HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2010

Betulkah PKR ada 400,000 ahli?

FREE MALAYSIA TODAY

pkr bmKUALA LUMPUR: Dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya ia mempunyai sehingga 400,000 anggota menjadi tandatanya banyak pihak termasuk ramai bekas pemimpin parti itu sendiri.

Menurut mereka, sehingga kini dakwaan itu gagal dibuktikan sama ada menerusi rekod bertulis mahupun pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berakhir Ahad lepas yang menyaksikan hanya 10 peratus daripada jumlah yang dikatakan anggota parti keluar mengundi.

Anuar Shaari, bekas setiausaha sulit Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata saiz keanggotaan PKR itu amat diragui bahkan sebelum beliau keluar dari parti itu pada Mei 2007, tiada satu rekod pun ditunjukkan bahawa parti itu mempunyai ahli sebanyak itu.

“Setiausaha agung dulu (Datuk Salehuddin Hashim) tidak pernah menunjukkan rekod jumlah keahlian dan setiausaha sekarang ini (Saifuddin Nasution Ismail) pun tak pernah tunjuk. Jadi ini amat meragukan.

“Kalaulah betul ada ahli sebanyak yang dikatakan, buktikanlah. Daripada pemilihan MPP pun, yang mengundi Mohamed Azmin Ali (calon timbalan presiden) tak sampai lima peratus pun,” katanya kepada Bernama.

Protes secara halus?

Anuar berkata sekiranya benar anggota PKR sebesar itu, ini bermakna sebahagian besar tidak mengambil bahagian dalam proses pemilihan parti, maka ini dilihat sebagai satu protes secara halus.

Mengikut keputusan tidak rasmi, Mohamed Azmin yang kini Naib Presiden PKR, dipilih sebagai timbalan presiden mengalahkan seorang lagi Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub.

Seorang lagi calon, Datuk Zaid Ibrahim, menarik diri dan keluar dari parti itu selepas mendakwa berlaku penyelewengan dalam pemilihan.

Jawatan Presiden kekal dipegang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menang tanpa ditandingi. Anak Anwar dan Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar, pula terpilih sebagai naib presiden.

10 peratus keluar mengundi

Ditanya mengapa pemilihan MPP hambar dengan peratusan keluar mengundi pada tahap 10 peratus sahaja berbanding Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC), Anuar berkata ia disebabkan keghairahan anggota untuk mengundi terbantut kerana telah diberikan tekanan oleh beberapa pemimpin.

“Segalanya telahpun dicaturkan dan ada juga pemimpin yang mendesak, merayu, meminta dan ada juga yang mengugut supaya calon mereka dimenangkan,” katanya.

Kenyataan yang hampir sama turut disuarakan oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd Nor.

Katanya, meskipun beliau tidak mengetahui jumlah anggota PKR selepas meninggalkan parti pada 2006, jika berdasarkan jumlah keanggotaan yang ada, sepatutnya lebih ramai anggota yang mengundi pada pemilihan MPP.

“Sekiranya benar, sudah pastinya calon yang menang tidak diberikan mandat daripada ahli untuk memimpin parti berdasarkan kepada peratusan kecil yang keluar mengundi,” katanya.

Ezam tidak menolak kemungkinan bahawa peratusan mengundi rendah disebabkan anggota PKR merasa diperalatkan untuk mencapai matlamat politik individu tertentu.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian, pula berkata beliau juga sangsi dengan jumlah keanggotaan PKR.

“Saya tidak tahu ia benar atau tidak. Kalau benar, sudah pastilah mereka ini akan keluar mengundi. Kalau kita berpegang kepada baki 90 peratus lagi anggota PKR keluar mengundi, keputusan pemilihan boleh jadi berbeza.

“Pada saya kalau benar (anggota PKR 400,000), 90 peratus itu adalah kelompok yang menunjukkan protes secara halus,” katanya yang juga pensyarah sains politik dari Universiti Sains Malaysia itu.

Tiada ulasan: