FREE MALAYSIA TODAY
SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mahu pemimpin Pakatan Rakyat mengubah tanggapan bahawa mereka bukan pembangkang sebaliknya pemerintah di negeri yang dikuasai gabungan parti DAP,PAS dan PKR.
Menurut Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, pemerintah Pakatan Rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat sebaik mungkin.
Malah pemimpin negeri, katanya tidak terlalu birokratik atau terikat dengan protokol.
“Kita perlu kekalkan nilai-nilai mesra rakyat dan mudah di dampingi yang kita amalkan sebelum menjadi kerajaan pemerintah. Paling penting kita tahu bezakan yang mana lawan dan kawan,” katanya dalam kenyataan media sempena persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri Pakatan Rakyat di sini hari ini.
Persidangan kali kedua yang berlangsung di Kompleks Kediaman Pegawai Kerajaan di sini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Selain Lim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri persidangan sehari itu.
Lim juga menasihatkan Kerajaan Pakatan Rakyat supaya mendapatkan sokongan kakitangan awam dan tidak mengabaikan mereka menjadi nadi pentadbiran sesebuah negeri.
Manakala Nik Aziz berkata, segala masalah yang timbul di negara ini adalah mainan Umno.
Masalah ini katanya, sengaja ditimbulkan Umno agar rakyat rasa kurang senang terhadap Pakatan Rakyat.
"Semua masalah yang timbul di negara ini adalah mainan Umno yang sengaja menimbulkan suasana tidak senang rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya.
Beliau turut menasihatkan negeri-negeri Pakatan Rakyat agar terus bersatu dalam menentang serangan media arus perdana yang terus memutar belitkan fakta.
Tindakan itu katanya, hanya untuk mengelirukan rakyat terhadap kepimpinan parti Pakatan Rakyat.
Azizan pula memberi nasihat agar Pakatan Rakyat tidak terlalu yakin untuk terus berkuasa.
Sambil merujuk kepada pilihan raya umum 2004 lalu, beliau berkata ia menjadi pengajaran apabila PAS tewas di Terengganu dan hanya menang tipis di Kelantan.
Namun Azizan berkata, rakyat Kedah semakin selesa dengan pentadbiran Pakatan di negeri itu serta berjaya meningkatkan hasil negeri menerusi pembalakan.
"Rakyat Kedah semakin selesa dengan pentadbiran Pakatan di Kedah yang mengamalkan ketelusan dan berjaya meningkatkan hasil negeri menerusi pembalakan," katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid berkata walaupun negeri-negeri Pakatan Rakyat menerima pelbagai cabaran sepanjang tiga tahun memerintah tetapi berjaya mematahkan cubaan itu.
Beliau turut berharap agar persidangan itu menjadi landasan berkongsi pengalaman untuk meningkatkan tahap perkhidmatan sekaligus memperkukuhkan pentadbiran sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan