HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 November 2010

Bubar Dun bidang kuasa Menteri Besar/Ketua Menteri

Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke berkata kuasa untuk membubar Dewan Undangan Negeri (Dun) terletak di bahu Menteri Besar atau Ketua Menteri setelah menerima perkenaan daripada Sultan atau Yang DiPertua Negeri.

"SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) tidak mempunyai kuasa untuk membubar Dun atau menentukan pilihan raya sesebuah negeri," jelas Ketua Pemuda DAP itu pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menyelar kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Omar yang mendakwa jika kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan pilihan raya berasingan maka akan menyebabkan pembaziran wang rakyat.

Sebagai respon beliau berkata, "ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana pilihan raya berasingan bukan perkara baru.

"Tugas SPR ialah mengadakan pilihan raya setelah pembubaran Dun. Tapi soal bubar dewan bukan bidang kuasa SPR. SPR jangan sibuk-sibuk. SPR tidak boleh campur tangan dalam hal ini," ujar beliau.

Anthony berkata, "Sarawak tidak pernah mengadakan pilihanraya serentak dengan negeri-negeri lain. Mengapa Wan Ahmad tidak beritahu Taib Mahmud kalau Sarawak nak buat pilihan raya berasingan, keluar Malaysia.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang melapur Wan Ahmad sebagai berkata, jika negeri Pakatan Rakyat mengadakan pilihanraya berasingan ia membazirkan wang rakyat.

Angka yang ganjil

Dalam sidang media itu, Anthony juga meminta SPR mengkaji mengenai jumlah kerusi Parlimen sebanyak 222 yang menurutnya tidak sesuai.

Katanya, apa akan berlaku jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menang dengan jumlah kerusi sama banyak iaitu BN 111 kerusi dan PR 111 kerusi.

"Apa akan berlaku, Siapa yang akan memerintah? Jadi saya cadangkan kerusi Parlimen menjadi 221," katanya.

Menurutnya, ada sembilan negeri yang mempunyai kerusi Dun yang genap iaitu Kedah (36); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Pahang (42); Selangor (56); Negeri Sembilan (36); Melaka (28); Johor (56) dan Sabah (60).

"Sebagai contoh, Dun Kedah 36 kerusi. Kalau BN menang 18 kerusi, PR menang 18 apa jadi, dewan negeri tergantung.

"Jadi saya berharap SPR menjadikan kerusi Dun dan Parlimen dalam angka yang ganjil supaya ada parti yang menang, bukan seri," katanya.


Tiada ulasan: