HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 November 2010

Anwar janji tak akan abaikan Sabah, Sarawak


Anwar sitting with the crowdOleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa ahli PKR dari Sabah dan Sarawak akan diberikan jawatan dalam barisan pimpinan yang baru.

Ini kerana pengumuman pemilihan ahli pimpinan pusat yang baru jelas menunjukkan hanya dua wakil daripada Sabah yang mengisi jawatan untuk ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) manakala tiada langsung wakil Sarawak yang berjaya merebut sebarang jawatan MPP.

Dalam pemilihan itu, wakil Sabah Roland Chia Ming Shen memperoleh 7,095 undi manakala Christina Liew memperoleh 5,707 undi.

Berikutan itu, Anwar memberi jaminan pemimpin tertinggi akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik untuk menempatkan wakil Sabah dan Sarawak dalam barisan pimpinan.

"Perwakilan Sabah dan Sarawak tidak ada tapi jangan bimbang.. Kita akan pastikan perwakilan Sabah dan Sarawak akan terus kuat dalam parti.

"Kita beri jaminan mereka akan diberi tempat dalam pimpinan dan ini akan dibincangkan dalam Biro Politik dalam amsa terdekat," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup Kongres Nasional PKR di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dalam ucapannya berkata isu memperkukuhkan parti di Sarawak adalah agendanya yang terpenting buat masa ini memandangkan pilihan raya negeri itu dijangka Mac tahun depan.

Beliau berkata pihaknya bersama barisan pimpinan yang baru akan merancang untuk turun ke Sarawak pada 14 Disember depan menyiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya negeri.

"Negeri pertama yang akan turun adalah negeri Sarawak. Kita akan atur proram dua minggu dalam bulan Disember untuk bantu Sarawak menyiapkan segala jentera bagi menghadapi pihan raya," katanya.

Beliau turut meletakkan keyakinan bahawa parti itu sudah pun bersedia kerana menganggap ahlinya sudah pun ‘terlatih’ semasa mengendalikan proses pemilihan peringkat cabang dan MPP sejak tiga bulan lalu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua anggota parti yang memberi sokongan kepada saya untuk teruskan kepimpinan parti sebagai timbalan presiden yang baru.

"Saya bertekad dan berazam untuk bersama pemimpin meneruskan agenda reformasi ke Putrajaya berdasarkan empat prinsip iaitu keadilan untuk semua, kepedulian rakyat, keharmonian kaum serta ketinggian moral," katanya.

Tiada ulasan: